25 August 2009

Rabbani Ramadhani

تكن ربانيين ولا تكن رمضانيين

Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang digambarkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai bulan yang istimewa dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Umat Islam di seluruh dunia diperjelaskan melalui penyampaian para ulama bahawa terdapat 3 perkara di bulan Ramadhan yang tidak kedapatan di bulan-bulan yang lain, iaitu solat tarawih, penurunan al-Quran dan malam al-Qadr (Lailatulqadar). Begitu juga dengan kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan yang lain yang dirasakan sudah terlalu amat banyak diperkatakan dan disampaikan oleh umat Islam melalui berbagai-bagai cara dan medium. Walaupun begitu, keadaan ini perlu diteruskan sebagai satu bentuk peringatan dan motivasi berterusan agar umat Islam tidak leka dalam merebut semua peluang untuk mendapatkan kebaikan di dalam bulan Ramadhan ini.

Walau bagaimanapun, perkara yang hendak ditumpukan di dalam penulisan ini adalah berkenaan dengan ibarah atau kata-kata di atas yang bermaksud: Jadilah sebagai seorang yang rabbani, dan janganlah kamu menjadi seorang yang ramadhani (sahaja).

Secara zahirnya terdapat sedikit nilai negatif di dalam kata-kata tersebut, iaitu larangan daripada menjadi seorang yang benar-benar menghayati bulan Ramadhan dengan amal ibadahnya. Sedangkan menghayati bulan Ramadhan melalui amal ibadah itu adalah suatu yang amat dituntut di dalam Islam. Jadi di manakah kebenaran maksud bagi kata-kata ini?

Jika kita menghayati dengan lebih mendalam lagi terhadap keseluruhan maksud kata-kata ini, sesungguhnya kita akan mendapati ianya cuba membawa kita kepada satu bentuk kefahaman yang sepatutnya difahami oleh seluruh umat Islam. Perintah untuk kita menjadi golongan rabbani bermaksud tuntutan ke atas seluruh umat Islam untuk kembali menghayati dan memahami tentang matlamat dan tujuan diciptakan manusia serta tugasan dan kewajiban yang perlu dilaksanakan, sepertimana yang telah ditentukan oleh Allah Taala. Itulah dia aqidah yang selamat, ibadah yang benar dan dakwah yang berterusan, perlu difahami sebaik-baik oleh setiap umat Islam. Dan apabila orang Islam itu telah memahami segala yang sepatutnya difahami daripada perkara-perkara tersebut, maka kita akan dapati bahawa jiwa, peribadi dan amalan seseorang itu akan berada dalam keadaan yang baik pada setiap detik waktu kehidupannya, bukannya pada masa-masa yang tertentu sahaja.

Manakala larangan daripada menjadi golongan bagi bulan Ramadhan sahaja bermaksud seseorang Islam itu tidak sepatutnya menjadikan hanya pada bulan Ramadhan sahaja untuk dia dapat melakukan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh, merubah keperibadiannya kepada yang lebih baik berbanding di luar Ramadhan atau mula untuk mempelajari tentang matlamat dan tujuan hidupnya. Akan tetapi, apabila Ramadhan berlalu pergi, maka dia akan kembali kepada keadaan semasa sebelum ketibaan Ramadhan.

Pada hakikatnya, inilah realiti yang berlaku dalam diri kebanyakan umat Islam pada hari ini. Pada bulan Ramadhanlah kita akan dapat melihat masjid-masjid dipenuhi oleh umat Islam, bukan sekadar untuk menunaikan solat tarawih, bahkan solat-solat fardhu yang lain. Begitu juga dengan al-Quran yang menjadi bacaan utama oleh setiap orang tanpa mengira masa dan tempat serta keadaan. Sifat dermawan meningkat (walaupun di Malaysia masih tidak setanding di negara Arab) lantas mendorong orang untuk melakukan amal sadaqah dan zakat. Aurat-aurat wanita mula tidak kelihatan lantaran kaum wanita menutupnya dan berhijab. Aktiviti-aktiviti lagha (seperti yang didapati di television) digantikan dengan program-program keagamaan, walaupun hanya sekadar syiar sahaja. Dan pelbagai lagi perkara-perkara baik yang boleh kita perhatikan semasa bulan Ramadhan ini. Sedangkan pada hakikatnya, dan seperti yang berlaku pada tahun-tahun lalu, keadaan seperti itu tidak berkekalan pada bulan-bulan seterusnya. Walau ada kesannya pada pada kita, hanya pada segelintir sahaja daripada kita.

Jadi apalah gunanya, sekiranya kita mengulangi perkara yang sama, yang tidak memberikan kesan pada jiwa dan diri kita. Seharusnya kita perlu berusaha untuk menjadikan diri dan jiwa kita terbina mengikut acuan rabbani, yang seterusnya akan membuatkan kita berasa bahawa nilai dan semagat Ramadhan itu bukan hanya pada bulan Ramadhan, tetapi juga di dalam bulan-bulan yang lain.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama kembali memahami fitrah kejadian dan kewujudan kita di atas muka bumi ini, seperti yang telah ditentukan oleh Allah. Jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai titik tolak kepada kita menjadi seorang yang Rabbani setiap masa, dan seterusnya seorang Ramadhani pada bulan yang mulia ini. Semoga dengan itu, Islam akan dapat kembali tertegak di dalam jiwa setiap umat Islam, dan seterusnya di atas muka bumi untuk menaunginya dan melimpahinya dengan rahmat Allah Taala.

2 comments:

Abu Khalid said...

Salam ramadhan ya ustaz

Sedar tak sedar, sudah 2 ramadhan kita berkenalan

Ana tak pasti juga sebenarnya, tapi pada ana, ruh ramadhan di Malaysia sudah makin lama makin pudar dalam masyarakat kita

Ana gusar kita menilai ramadhan dengan kaca mata kita, dengan orang dalam kepompong kita sahaja, sedangkan umat di luar sedang makin dimamah usia dunia


Harapnya ramadhan kali ini lebih manis dan enak
Rindunya beriktikaf bersama nta

Ontahapo said...

tu la pasal.dan sebab tu jugak le yang ana nak sangat jumpa ngan nta. sentiasa tidak berkesempatan.

so sama2 la kita bawa angin perubahan dalam masyarakat kita.