MELIHAT kegigihan seorang warga emas menjahit songkok, timbul persoalan, apakah akan terjadi untuk tempoh 10 tahun akan datang. Siapa yang akan memastikan kesinambungan menyiapkan warisan tradisi bangsa Melayu ini, adakah akan lupus ditelan zaman?
Tidak ramai yang sanggup membabitkan diri dalam bidang pembuatan songkok, ada yang menganggapnya kerja remeh dan mendakwa tidak mempunyai masa depan berbanding bidang lain yang lebih terjamin dari segi pendapatan.
Namun, bagi Bakhtiar Mustafa yang sudah pun mencecah usia 73 tahun, itulah sumber menyara keluarga dan lebih penting, usaha itu dapat memastikan tradisi pakaian bangsa Melayu itu akan terus bertahan.
Meskipun kian dimamah usia, Bakhtiar cukup tekun dan bersemangat bekerja, matanya tetap tajam, fokus meneliti jarum dan gerak tari mesin jahit di kedai menjahit songkok di Pasar Keramat, Kuala Lumpur.
Logiknya pada usia emas begitu, tidak ramai yang masih sanggup dan mampu menjahit dengan baik kerana kerjaya sebagai pembuat songkok memerlukan penelitian cukup halus, cermat dan sering dianggap remeh.
Bagi Bakhtiar, beliau bernasib baik kerana daya penglihatan masih baik dan menjadi satu kelebihan baginya. Malah beliau cukup bersyukur dengan nikmat itu yang membolehkannya meneruskan usaha dengan sehingga ke hari ini. Jika tidak, sudah pasti punca rezekinya terjejas.
Pengalaman lebih 34 tahun mengabadikan diri dalam usaha pembuatan songkok membuatkan Bakhtiar cukup sedar jika tidak diteruskan tradisi ini, ia akan memberi petanda tidak baik yang boleh menjejaskan kesinambungan seni warisan Melayu.
“Jika berminat nak jadi pembuat songkok, kena banyak bersabar, kena tekun, teliti dan paling penting jangan mudah berputus asa. Mesti berguru dan saya sendiri ambil masa hingga tiga tahun untuk benar-benar yakin pada diri sendiri untuk hasilkan songkok untuk dijual.
“Kita menghasilkan sesuatu untuk dipakai, mestilah hasilnya selesa dipakai dan cantik dipandang. Ini budaya kita dan kita mesti jaga,” katanya.
Proses membuat songkok bermula dengan proses memotong pelan kertas yang sudah siap disulam dengan jahitan warna asas di dalam songkok, biasanya berwarna biru. Kertas pelan yang ditempah khas itu akan dipotong dua untuk dibentuk asas tepi songkok.
Potongan siap itu akan diukur mengikut saiz ditetapkan dan kebiasaannya, ukur lilit kepala orang dewasa ialah antara 21 hingga 24 inci, manakala saiz kanak-kanak adalah bawah 21 hingga 16 inci.
Bakhtiar akan memotong mengikut ukuran pembaris dan kaedah tradisional dengan menemukan kedua-dua hujung potongan itu untuk dipadankan.
“Kadang kala memang kita ukur ikut saiz tetapi mesti ukur kedua penghujung. Ini akan membantu ketepatan, boleh nampak terus sesuai atau tidak,” katanya.
Seterusnya, potongan ukur lilit kepala itu akan dijahit kemas sebanyak dua kali di sebelah dalam bagi memastikan cengkaman kuat termasuk satu daripadanya dijahit bersama kulit kecil.
Penutup songkok pula dibuat berdasarkan keperluan. Bagi songkok biasa atau standard, saiz ketinggiannya ialah 3 1/4 inci manakala bagi songkok tinggi atau lebih popular dengan gelaran songkok Johor, ketinggiannya melebihi 4 inci.
Songkok Johor itu mempunyai ketinggian permukaan atas tidak rata dan tinggi di bahagian tepi manakala songkok standard mempunyai permukaan sama rata.
Songkok yang siap dijahit akan diratakan di bahagian jahitan menggunakan sudu kecil bagi mengelakkan permukaan tidak rata akibat kesan jahitan. Proses terakhir ialah memasang baldu serta lilitan bersulam yang ditempah dari Pulau Pinang dan Sumatera Barat, Indonesia.
Bagi Bakhtiar, beliau mampu menyiapkan lima songkok sehari sekiranya menumpukan sepenuh masa dan menjelang musim perayaan, tempahan yang diterima agak tinggi.
Bagaimanapun, di hati kecilnya, timbul perasaan terkilan dan kecewa melihat ‘trend’ pemakaian songkok ketika ini yang dikatakan sangat merosot.
“Dulu ramai yang memilih songkok setiap kali menjelang musim perayaan atau dipakai ke majlis rasmi, tetapi sekarang sudah berkurangan. Jika ada pun, tempahan pelajar sekolah. Sekarang orang lebih suka guna ketayap.
“Tak apalah, mungkin trend ini akan berubah tetapi kita harus berusaha pastikan tradisi ini kekal,” katanya yang pernah menjaja di kaki lima menjual songkok pada awal pembabitannya sebelum menghasilkan songkok.
Profil
Nama: Bakhtiar Mustafa, 73,
Isteri: Syamsiah Abdul Majid, 66
Anak:
1) Erny, 38
2) Risnaldi, 36,
3) Juniarni, 34,
4) Herlina, 30,
5) Muharman, 28
6) Firdaus, 24,
Cucu: 16 orang
Kedai: F8 Pasar Keramat, Kuala Lumpur
* Berita Minggu, 9 Ogos 2009
No comments:
Post a Comment