Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

04 September 2010

Kegembiraan yang mana satu?

La ni orang dok sibuk dengan persiapan hari raya. Masing-masing sibuk membeli belah; membeli pakaian baru, peralatan rumah baru, kuih-muih yang serba baru, dan macam-macam lagi. Nampak sangat kegembiraan di hati mereka semua.

Tapi.... adakah itu kegembiraan yang kita cari-cari? Bukankan kegembiraan sebenar bagi muslim adalah dengan tibanya bulan Ramadhan, dengan peluang-peluang menggadakan pahala di bulan Ramadhan, dengan kurniaan nikmat dari Allah di malam al-Qadar? Bukankan ini semua yang sepatutnya digembirakan oleh setiap muslim...?

Tambahan lagi, bukankah kegembiraan bagi muslim pada 1 Syawal itu adalah kerana mereka telah berjaya memanfaatkan Ramadhan, dan mengembalikan mereka kepada fitrah kejadian, iaitu suci dari dosa-dosa yang lalu?

Tapi hari ni, semuanya dah terbalik, terutama bagi umat Islam di Malaysia. Mungkin ada sebahagian kita yang benar-benar menghayatinya, tapi kebanyakan orang, bagaimana? Amat tertipulah bagi mereka yang bergembira dengan tibanya 1 Syawal hanya kerana bulan puasa sudah berakhir, boleh makan dan minum, boleh bergembira, sedang mereka tidak mengambil berat pun tentang ibadah mereka di bulan Ramadhan, terutama di 10 malam terakhir. Lihat sahaja di mana pada waktu ini, pasaraya2 sibuk mengadakan promosi jualan murah, tv sibuk menyediakan hiburan2 hari raya, radio2 sudah mula memutarkan lagu2 raya, yang mana semuanya tidak membantu ke arah untuk 'all out' pada 10 malam terakhir ini.


Jadi oleh yang demikian, pastikan kita dapat memilih dengan tepat, apakah kegembiraan yang kita inginkan..!!!

03 September 2010

Maintain kan mood anda

Maintain kan mood kita dengan mood beribadah dan mengejar malam al-Qadar. Jangan biarkan mood hari raya menguasai kita, risau kita akan mensia-siakan peluang-peluang untuk kita beribadah. 

Kalau rasa-rasa dah bertukar mood kepada mood raya, harap boleh ubah semula dan kekalkan sehingga penghujung Ramadhan.

Jom kekalkan mood 10 malam terakhir kita !!!

12 August 2010

Paksalah Dirimu Demi Ramadhan...

Sekiranya kita terdengar atau terbaca mengenai paksaan, pasti kebanyakan dari kita akan menganggap bahawa paksaan adalah suatu yang tidak disukai lantaran ianya menafikan hak kebebasan seseorang. Begitu juga akan ada orang yang akan mengatakan bahawa tiada paksaan dalam agama, lantas membawakan dalil dari surah al-Baqarah ayat 256. Dikuatkan lagi dengan terdapatnya banyak perbahasan di kalangan ulama berkenaan dengan paksaan atau al-Ikrah di dalam kitab-kitab fiqh mahupun usul al-Fiqh.

Kenyataan di atas kesemuanya adalah benar dan memang tidak dinafikan. Akan tetapi mari kita fikirkan sekali lagi berkenaan dengan paksaan ini dengan cara pemikiran di luar kotak (thingking out from the box).

Satu persoalan boleh kita lontarkan bagi menjadi pencetus kepada pemikiran dari sudut yang berbeza tentang paksaan ini. Apakan Allah menciptakan 'paksaan' atau perasaan 'rasa dipaksa' ini kesemuanya menjurus kepada keburukan ? Atau di sana terdapat juga nilai-nilai kebaikan dalam paksaan ini? Samalah juga dengan beberapa pandangan yang menyatakan bahawa segala kemungkaran yang Allah larang; selain ianya sendiri suatu yang buruk, tetapi terdapat juga kebaikannya bilamana kemungkaran-kemungkaran ini akan dapat menjadikan kita sebagai orang yang lebih banyak bersabar dan berhati-hati dalam setiap tindakan kita. Begitu juga apabila kita mengatakan bahawa setiap bala bencana yang Allah turunkan pasti ada di sana hikmah dan kebaikannya.

Begitulah juga dengan paksaan ini. Suatu paksaan akan dilihat sebagai suatu yang buruk apabila ia dikaitkan dengan perkara-perkara yang negatif seperti paksaan dari seseorang ke atas orang lain agar melakukan suatu yang dilarang oleh Allah. Contoh seperti seseorang yang dipaksa untuk minum arak, membunuh orang lain, dipaksa untuk berbohong dengan perkara yang bukan hak dan lain-lain lagi. Sebaliknya, jika suatu paksaan itu dikaitkan pula dengan kebaikan; berserta beberapa syarat yang perlu dijaga, sudah pasti paksaan itu adalah suatu yang positif. 

Mari kita sama-sama melihat tentang perkara ini dalam konteks bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan seperti yang kita fahami adalah bulan yang penuh dengan barakah, rahmat dan segala macam ganjarannya. Setiap muslim adalah dituntut untuk merebut peluang keemasan ini sebagai bekalan di akhirat kelak. Antara yang dituntut adalah dengan memperbaiki amal ibadat lantas memperbanyakkannya di bulan ini. Bagi mereka yang telah selesai perkara-perkara asas tentang Islam, mungkin ianya suatu yang mudah untuk melakukan ibadat di bulan ini. Tetapi bagaimana dengan mereka yang masih kurang dari segi perkara-perkara asas tentang agama ini? Adakah dengan keadaan mereka yang sedemikian akan membuatkan mereka untuk terus leka dan membiarkan Ramadhan dengan begitu sahaja? Sudah pasti perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku ke atas seorang muslim. Oleh yang demikian, kita sebagai seorang muslim harus memberi kesedaran kepada mereka bahawa mereka perlu memaksa diri mereka sekuat yang mungkin untuk merebut segala peluang ibadah yang ada di dalam bulan Ramadhan. 

Memaksa diri agar dapat mendirikan solat tarawih walaupun ianya mungkin memenatkan. 

Memaksa diri untuk melakukan tilawah sebanyak mungkin walaupun bacaannya kurang sempurna. 

Memaksa diri untuk mengeluarkan infaq biarpun sedikit, walaupun sumber kewangannya adalah terbatas. 

Memaksa diri untuk bangun malam melakukan ibadah sunat walaupun terpaksa membataskan masa rehat dan masa tidur. 

Memaksa diri untuk tidak melakukan perkara-perkara yang lagho, apatah lagi kalau kemungkaran, walaupun semua perkara tersebut adalah perkara yang menyeronokan hati.

Memaksa diri agar berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah, memohon keampunan dariNYA, memohon kekuatan dariNYA untuk beramal soleh, walaupun sebelum ini ianya suatu yang sukar untuk dilakukan.

Persoalannya kini, adakah kita mampu untuk memaksa diri kita bagi tujuan tersebut? Jawapannya adalah ya, kita mampu untuk melakukannya. Ini kerana Allah telah menetapkan bahawa setiap yang perintahkan, pasti mampu untuk dilakukan (al-Baqarah 286). Jika masih lagi merasakan tidak mampu, maka di luar sana banyak lagi faktor yang boleh menjadi pendesak. Jadikan Ramadhan sebagai pendesak dan pemaksa untuk kita melakukan ibadah. Jadikan janji pahala dan dosa, syurga dan neraka sebagai pendesak bagi kita melakukan amal soleh dan meninggalkan amal mungkar. Jadikan orang-orang di sekeliling kita sebagai pihak yang boleh mendesak kita untuk mencapai tujuan tersebut. Jadikan juga suasana kehidupan hari ini; perkara-perkara yang Islamik, untuk mendesak kita menjadi pendokongnya, dan perkara-perkara kemaksiatan dan masalah sosial, untuk mendesak kita agar menjadi ejen yang boleh mengatasi dan mengubahnya kepada kebaikan.

Semua ini tidak mustahil dan boleh dilaksanakan, selagi ianya terikat dengan kaedah-kaedah Islam.

Di dalam al-Quran menyebut agar kita bersegera dalam melakukan kebaikan (Ali Imran 114, 133, al-Anbiya 90, al-Mukminun 61). Dan begitu juga di dalam hadis terdapat saranan untuk kita bersegera / mubadarah untuk melakukan amal kebaikan (sahih Muslim 328, 7584, 7585). Jika diteliti arahan untuk 'bersegera' ini, kita dapati terdapat di sana unsur-unsur paksaan; iaitu paksaan ke arah kebaikan. Seolah-olah apabila kita meminta seseorang untuk segera melakukan sesuatu, bererti kita memaksa (bukan dengan kekerasan dan bukan untuk tujuan keburukan) untuk dia melakukannya dengan pantas berdasarkan kemampuannya.

Kesimpulannya, selagi mana paksaan yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan, dan terikat dengan batas-batas Islam (iaitu dengan tidak melibatkan unsur ghuluw / melampaui batas), maka kita harus untuk memaksa diri kita atau orang lain agar dapat dan terus melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Allah.

Jadi untuk akhirnya, bersempena dengan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama berusaha dan memaksa diri kita ke tahap paling tinggi agar kita dapat merebut segala peluang ganjaran yang Allah tawarkan kepada kita sebagai bekalan di akhirat kelak.

Sesungguhnya Allahlah yang maha mengetahui akan segalanya.

17 September 2009

10 Malam Terakhir, Balik Kampung, Hari Raya

Alhamdulillah, hari ni (27 Ramadhan 1430) aku telah diberi peluang dan kekuatan oleh Allah untuk memanfaatkan malam aku dengan ibadah. Alhamdulillah, aku dan kebanyak ikhwah Kelantan malam tadi, beriktifkat di Masjid Putra (SBJ), Pasir Pekan. Ramai juga yang datang qiam malam tadi. Tak ketinggalan juga para remaja (cuma taksempat nak bertegur sapa dengan diorang). Harap-harap, amalan kami semua mendapat ganjaran dari Allah.

p/s: waktu tulis posting ni, mata dan berat giler terasa. Ngantuk beb...

Hari ni, hari terakhir di pejabat sebelum pulang ke kampung untuk beraya. Sebenarnya, masih banyak lagi urusan yang belum dapat diselesaikan, terutama courseworks pelajar. Tak dapat nak fokus sebab terlalu beri tumpuan untuk urusan penghantaran pelajar ke Yaman. Masa yang tinggal dah semakin singkat. Insya Allah diorang akan berangkat pada 29 September 2009 (raya ke 9 kalau tak silap) ke Yaman. Termasuk adik ipar aku. Harapnya aku dapat selesaikan sedikit sebanyak tugasan aku sebelum bertolak ke Perak malam nanti.

p/s: road tax tak selesai lagi. harap-harap boleh dapat hari ni jugak sebelum bertolak



Memandangkan ni hari terakhir aku berkerja sebelum raya, maka inilah juga hari terakhir aku dapat berinternet. Mungkin seminggu lebih tak dapat beronline. Jadi untuk mengambil kesempatan yang ada ni, saya, Muharman, isteri tercinta Ustazah Nazila dan anak kesayangan kami, Nu'man, ingin memohon jutaan ampun dan maaf pada semua yang mengenali diri kami, yang melawati blog saya ini, dan sesiapa sahaja, jika ada kesilapan yang kami telah lakukan. Kami mohon dihalalkan segalanya. Semoga raya ini, kita akan bertemu lagi dalam keadaan kembali kepada fitrah kita yang hakiki.

SELAMAT HARI RAYA ADILFITRI
TAQABBALALLAH MINNA WA MINKUM

13 September 2009

Galeri Semarak Ramadhan 2009 Kolej Jaiputra

Nak tengok gambar-gambar sepanjang program Semarak Ramadhan 29, boleh ke laman berikut :  Semarak Ramadhan09

Semarak Ramadhan 09

Alhamdulillah, baru-baru ni Program Semarak Ramadhan 2009 telah pun berakhir dengan jayanya. Banyak pengalaman yang diperolehi bagi siswa dan siswi yang terlibat dalam perjalanan program ni. Harapnya, segala pengalaman yang ditimba itu akan bermanfaat untuk mereka semua.
Sedikit gambar kenangan program. Nak cerita dari awal pun, rasanya terlalu panjang. Biar gambar sahaja yang bercerita.



Mesyuarat pelaksana


Siswi berbuka puasa.



Pertandingan Khat
 
Majlis perasmian


Pertandingan hafazan


Majlis khatam al-Quran


Majlis Ihsan Ramadhan - penyerahan sumbangan




09 September 2009

Raya vs al-Qadar

"Hari ni dah masuk 18 Ramadhan, so berapa hari lagi yang tinggal?" tanya ust pada studentnya. Sambil menghitung jumlah hari, maka ada yang menjawab: " Lagi 10 hari ust". "Eh, 11 hari ustaz" jawab seorang lagi pelajar. Sambil tersenyum, lalu ustaz pun berkata: "Kalau bagi ustaz, tinggal lagi 2 hari je". Sekali lagi si ustaz tersenyum bila melihat pelajarnya yang agak kebingungan dengan jawapan si ustaz. Seraya itu, si ustaz pun memberi penjelasan berkenaan dengan jawapannya, "Maksud ustaz lagi 2 hari tu adalah, kita lagi 2 hari nak masuk pada stage yang ketiga dalam bulan ramadhan. Stage yang mana disebutkan bahawa akan mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka. Tapi yang paling penting sekali adalah, pada stage ini kita akan mendapat peluang untuk merebut ganjaran Allah yang paling berharga, iaitu peluang untuk berjumpa dengan malam al-Qadar".

Demikian sedikit dialog antara aku dengan pelajar kolej dalam subjek Fiqh Ibadah. Daripada jawapan yang mereka berikan, jelas sekali satu gambaran tentang bagaimana mentaliti umat iIlam - terutama di malaysia - yang kini lebih mengutamakan sambutan hari raya berbanding sambutan 10 malam terakhir untuk merebut malam al-Qadar ketika bulan Ramadhan di peringkat penghujungnya.

Tidak dinafikan, bahawa kemungkinan terdapat juga sebilangan umat Islam  yang benar-benar tertunggu-tunggu dengan kehadiran 10 malam terakhir ini, tetapi secara umumnya, jika ditanyakan pada mereka dengan persoalan seperti di dalam dialog di atas secara spontan; tanpa menyebut tentang malam al-Qadar, pasti yang akan bermain di fikiran adalah tentang kehadiran hari raya yang 'ditunggu-tunggu'. Senario ini menjadi lebih jelas lagi apabila kita boleh melihat bukti-bukti nyata yang menguatkan andaian ini. Jika perhatikan sekeliling kita, kita akan dapati umat islam akan mula menyibukkan diri masing-masing dengan membuat persiapan-persiapan menjelang hari raya. Pasar dan gerai jualan akan dipenuhi dengan manusia yang ingin membeli belah, para ibu akan mula sibuk untuk membuat segala macam kuih muih untuk hari raya, kanak-kanak mula merencana tentang persiapan hari raya mereka, di samping meletupkan mercun yang terkadang mengganggu jirannya dan orang lain. Antara yang ketara juga, radio dan telvisyen juga telah mula memainkan lagu-lagu dan rancangan bermotifkan hari raya. Dan yang paling menyedihkan, pada 10 malam terakhir inilah, kita akan dapat melihat bagaimana masjid-masjid dan surau-surau kehilangan sejumlah jemaah yang agak besar berbanding di awal Ramadhan. Jika di awal Ramadhan, orang ramai berpusu-pusu untuk solat tarawih berjamaah, tetapi di penghujungnya amat menyedihkan sekali. Jika difikirkan ke manakah menghilangnya jemaah ini, pasti kita akan dapati mereka ini telah pun sibuk dengan persiapan hari raya.

Jadi di manakah nilai kebesaran 10 malam terakhir dan juga malam al-Qadar yang banyak disebut di dalam hadis pada diri umat Islam pada hari ini? Jika sebelum kehadiran Ramadhan, orang tertunggu-tunggu dengan bulan Ramadhan, tetapi mengapa tidak kita tertunggu-tunggu juga dengan 10 malam terakhir? Adakah umat islam hanya akan memikirkan tentang 10 malam terakhir ini hanya apabila disebut oleh para ustaz dan penceramah, tetapi lupa akannya apabila tibanya waktu tersebut?

Sesuatu perlu dilakukan. Satu perubahan mentaliti perlu dilakukan sekarang oleh masyarakat kita. Jika tiada perubahan, necaya apa yang sedang dihadapi ini akan berkekalan kepada generasi seterusnya.

Perlu diingatkan juga, bukanlah ertinya bila kita diminta untuk memfokuskan pada 10 malam terakhir, lalu kita menafikan keinginan untuk membuat persediaan hari raya. Sama sekali tidak! Tapi yang menjadi masalahnya adalah apabila masyarakat amat keterlaluan dalam membuat persediaan tersebut, sehingga menjejaskan tumpuannya untuk mengatur strategi untuk dia merebut peluang ganjaran pahala yang Allah tawarkan di dalam 10 malam terakhir ini. Yang sepatutnya adalah, kita beri tumpuan lebih kepada amal ibadah dalam tempoh masa ini, tetapi kita berikan juga ruang untuk membuat persediaan hari raya. Barulah ketika itu akan berlaku keseimbangan adalah kehendak dunia dan akhirat.

Semoga dengan apa yang telah dinyatakan di atas akan dapat mendorong kita dan masyarakat untuk membuat perubahana mentaliti. Semoga dengan itu juga akan memberi peluang yang besar kepada kita untuk bertemu dengan malam al-Qadar yang ditunggu- tunggu itu. Wallahualam

02 September 2009

Amal ibadah berganda pahala. Maksiat bagaimana pula?

Asal kepada setiap amal kebajikan akan digandakan ganjarannya oleh Allah Taala, walau apa jua keadaan dan dimana jua seseorang hamba itu berada. Ini adalah berdasarkan kepada keumuman ayat al-Quran dalam surah al-An'am 160.Apatah lagi jika amal kebajikan tersebut dilakukan ditempat-tempat yang mulia yang tertentu seperti di Tanah al-Haram, atau pada masa-masa yang tertentu seperti di bulan Ramadhan. Justeru itu, maka sewajarnyalah bagi setiap hamba itu untuk merebut peluang-peluang gandaan pahala tersebut.

Jadi bagaimana pula dengan sebaliknya, jika amal yang dilakukan itu adalah amal kejahatan dan kemaksiatan? Adakah amal kejahatan itu juga akan digandakan dosanya, sepertimana digandakan pahala bagi yang melakukan amal kebajikan?

Persoalan ini mungkin suatu yang tidak kerap diutarakan di dalam masyarakt kita pada hari ini. Kerana yang menjadi keutamaan dalam setiap ucapan para penceramah, pentazkirah, penulis dan sesiapa sahaja adalah menjurus kepada galakan untuk memperbanyakkan amalan. Akhirnya menyebabkan masyarakat pada hari ini (orang awam) terfokus pada satu aspek sahaja, tetapi mengabaikan pada aspek yang lain; iaitu bersungguh untuk beramal, tetapi dalam masa yang sama, masih lagi dalam keadaan melakukan kemungkaran.

Jika dilihat dari perspektif ilmiah, tidak terdapat nas yang mengatakan bahawa segala maksiat yang dilakukan pada bulan Ramadhan, akan digandakan dosanya, melainkan satu hadis yang bermaksud: "Bertaqwalah pada bulan Ramadhan. Sesungguhnya segala kebaikan (pada bulan Ramadhan) akan digandakan padanya (pahala), dan demikian juga kejahatan (digandakan dosanya)". Walaubagaimana pun, hadis ini diputuskan sebagai dhaif. Akan tetapi, beberapa perkara yang jelas berkenaan dengan permasalahan ini iaitu Allah tidak akan membalas suatu kejahatan melainkan yang seumpama dengannya, seperti yang kita dapat fahami di dalam ayat 160 surah al-An'am. Begitu juga bahawasanya suatu kejahatan itu akan dianggap sebagai satu kesalahan yang amat besar, bukannya gandaan pada dosa, jika ia berkait dengan kemuliaan sesuatu perkara, masa-masa yang dianggap mulia (seperti bulan haram), tempat-tempat yang mulia dan individu yang terlibat dalam perbuatan tersebut (seperti berkata keji terhadap kawan dan berkata keji terhadap ibubapa). Isu gandaan pahala dan dosa ini disimpulkan oleh ulama yang menyebut bahawa, gandaan pahala bagi suatu kebaikan itu adalah dengan sebab al-Kam (bilangan) dan al-Kaif (bagaimana cara). Maksud bagi al-Kam itu adalah satu kebaikan digandakan dengan 10 pahala atau lebih. Manakala maksud al-Kaif pula merujuk kepada satu pahala yang amat besar nilainya (bukan dari segi bilangan). Akan tetapi, bagi kejahatan pula hanya akan dilihat dari sudut al-Kaif sahaja, iaitu setakat mana berat dan teruknya kejahatan yang dilakukan. Jika kejahatan itu di lakukan pada waktu-waktu yang mulia, seperti di bulan Ramadhan, kejahatan tersebut akan dianggap sebagai satu kejahatan yang amat berat sekali, bukan digandakan kejahatan tersebut. Seperti contoh, jika seseorang mencuri di bulan Ramadhan, maka perbuatannya itu dianggap sebagai kesalahan yang amat besar. Tetapi bukannnya dengan digandakan dosanya itu kepada dua kali atau lebih sedang kesalahan yang dilakukannya itu adalah sekali. Ini yang dimaksudkan dengan al-Kaif bagi kejahatan, bukannya dengan al-Kam.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna kita sebagai seorang muslim akan meletakkan dalam minda kita bahawa, tidak mengapa untuk melakukan kesalahan pada bulan Ramadhan ini, kerana dosa yang akan diterima adalah berkadar dengan kesalahan yang dilakukan. Pendirian begini sama sekali tidak boleh diterima, bukan hanya semata-mata di bulan Ramadhan bahkan di bulan-bulan yang lain juga. Perlu diingat bahawa perbincangan ulama tentang perkara ini adalah berdasarkan kepada nas yang sedia ada. Tapi kita juga perlu sedar bahawa pengakhiran kepada suatu perkara adalah kembali kepada Allah, dan Dia lah yang berhak untuk menentukan suatu perkara mengikut kepada hendakNYA. Jadi tidak mustahil jika dosa yang kita lakukan di bulan Ramadhan akan digandakan, jika itu yang dikehendaki oleh Allah. Dan kita sebagai manusia tidak ada hak pun untuk mempertikaikan tentang perkara itu.

Dan jika difikirkan secara logik akal yang waras, bagaimana mungkin bulan Ramadhan yang dimuliakan ini, yang dijamin pahala yang berlipat kali ganda kepada yang melakukan ibadah, kemudian di dalam masa yang sama dicemari dengan perbuatan mungkar yang dilarang untuk melakukannya. Sudah tentu ianya akan lihat sebagai satu perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku. Sudah tentu juga Allah yang memuliakan bulan ini akan murka terhadap perbuatan tersebut. Umpama seorang bos di dalam syarikatnya. Ketika syarikat tersebut dalam keadaan prestasi yang cemerlang, mungkin sahaja bos tersebut akan menawarkan ganjaran bonus kepada pekerjanya yang bersungguh-sungguh melakukan tugasan masing-masing. Tiba-tiba terdapat individu yang melakukan sebaliknya. Malas bekerja, tidak bersungguh-sungguh, atau mungkin melakukan perkara yang boleh merosakkan prestasi cemerlang syarikat. Sudah pasti si bos tersebut, dalam keadaan awalnya ingin menawarkan ganjaran, akhirnya berubah kepada rasa marah dan 'bengang' dengan perlakuan pekerjanya. Jadi tidak akan ada bonus yang akan diberikan, bahkan mungkin pekerja tersebut akan dibuang kerja.

Inilah antara perumpamaan yang boleh digambarkan tentang bagaimana keadaannya satu kesalahan itu jika dilakukan di bulan Ramadhan. Dan inilah realiti yang sedang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini. Pada hari ini kita boleh melihat masyarakat luar sana yang masih ramai lagi mencampurkan antara amal soleh dengan kemungkaran. Lihat sahaja mereka-mereka yang melakukan rasuah sedang mereka adalah berpuasa. Wanita-wanita yang membuka aurat sedang mereka adalah berpuasa. Orang-orang yang berjudi sedang mereka dalam keadaan berpuasa. Mereka-mereka yang masih gembira dengan hiburan-hiburan yang melalaikan sedang mereka semua dalam keadaan berpuasa. Dan banyak lagi perkara-perkara yang tidak disebut di dalam tulisan ini. Persoalannya, apakah yang sedang berlaku sekarang ini? Di mana letakkan kefahaman kita tentang perkara ini? Di manakah pihak-pihak yang sepatutnya memberi faham masyarakat tentang perkara ini? DAN APA PERANAN YANG TELAH KITA MAINKAN UNTUK MERUBAH KEADAAN INI?

Sesungguhnya amat besar tugasan yang perlu kita pikul dan masih banyak yang kerja yang perlu kita lakukan. Masyarakat pada hari ini memerlukan kita untuk mengajak manusia bermujahadah dengan nafsu mereka, agar kebaikan yang Allah tawarkan pada bulan Ramadhan ini dapat kita rebut dengan sebaiknya, dan seterusnya menjadikan Ramadhan ini sebagai titik tolak kepada satu perubahan yang lebih baik ke arah memahami Deen Islami ini. Dan akhirnya menjadikan kita semua sebagai golongan yang akan memperoleh janji Allah untuk mendapatkan nikmat syurga. Amin!

25 August 2009

Rabbani Ramadhani

تكن ربانيين ولا تكن رمضانيين

Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang digambarkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai bulan yang istimewa dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Umat Islam di seluruh dunia diperjelaskan melalui penyampaian para ulama bahawa terdapat 3 perkara di bulan Ramadhan yang tidak kedapatan di bulan-bulan yang lain, iaitu solat tarawih, penurunan al-Quran dan malam al-Qadr (Lailatulqadar). Begitu juga dengan kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan yang lain yang dirasakan sudah terlalu amat banyak diperkatakan dan disampaikan oleh umat Islam melalui berbagai-bagai cara dan medium. Walaupun begitu, keadaan ini perlu diteruskan sebagai satu bentuk peringatan dan motivasi berterusan agar umat Islam tidak leka dalam merebut semua peluang untuk mendapatkan kebaikan di dalam bulan Ramadhan ini.

Walau bagaimanapun, perkara yang hendak ditumpukan di dalam penulisan ini adalah berkenaan dengan ibarah atau kata-kata di atas yang bermaksud: Jadilah sebagai seorang yang rabbani, dan janganlah kamu menjadi seorang yang ramadhani (sahaja).

Secara zahirnya terdapat sedikit nilai negatif di dalam kata-kata tersebut, iaitu larangan daripada menjadi seorang yang benar-benar menghayati bulan Ramadhan dengan amal ibadahnya. Sedangkan menghayati bulan Ramadhan melalui amal ibadah itu adalah suatu yang amat dituntut di dalam Islam. Jadi di manakah kebenaran maksud bagi kata-kata ini?

Jika kita menghayati dengan lebih mendalam lagi terhadap keseluruhan maksud kata-kata ini, sesungguhnya kita akan mendapati ianya cuba membawa kita kepada satu bentuk kefahaman yang sepatutnya difahami oleh seluruh umat Islam. Perintah untuk kita menjadi golongan rabbani bermaksud tuntutan ke atas seluruh umat Islam untuk kembali menghayati dan memahami tentang matlamat dan tujuan diciptakan manusia serta tugasan dan kewajiban yang perlu dilaksanakan, sepertimana yang telah ditentukan oleh Allah Taala. Itulah dia aqidah yang selamat, ibadah yang benar dan dakwah yang berterusan, perlu difahami sebaik-baik oleh setiap umat Islam. Dan apabila orang Islam itu telah memahami segala yang sepatutnya difahami daripada perkara-perkara tersebut, maka kita akan dapati bahawa jiwa, peribadi dan amalan seseorang itu akan berada dalam keadaan yang baik pada setiap detik waktu kehidupannya, bukannya pada masa-masa yang tertentu sahaja.

Manakala larangan daripada menjadi golongan bagi bulan Ramadhan sahaja bermaksud seseorang Islam itu tidak sepatutnya menjadikan hanya pada bulan Ramadhan sahaja untuk dia dapat melakukan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh, merubah keperibadiannya kepada yang lebih baik berbanding di luar Ramadhan atau mula untuk mempelajari tentang matlamat dan tujuan hidupnya. Akan tetapi, apabila Ramadhan berlalu pergi, maka dia akan kembali kepada keadaan semasa sebelum ketibaan Ramadhan.

Pada hakikatnya, inilah realiti yang berlaku dalam diri kebanyakan umat Islam pada hari ini. Pada bulan Ramadhanlah kita akan dapat melihat masjid-masjid dipenuhi oleh umat Islam, bukan sekadar untuk menunaikan solat tarawih, bahkan solat-solat fardhu yang lain. Begitu juga dengan al-Quran yang menjadi bacaan utama oleh setiap orang tanpa mengira masa dan tempat serta keadaan. Sifat dermawan meningkat (walaupun di Malaysia masih tidak setanding di negara Arab) lantas mendorong orang untuk melakukan amal sadaqah dan zakat. Aurat-aurat wanita mula tidak kelihatan lantaran kaum wanita menutupnya dan berhijab. Aktiviti-aktiviti lagha (seperti yang didapati di television) digantikan dengan program-program keagamaan, walaupun hanya sekadar syiar sahaja. Dan pelbagai lagi perkara-perkara baik yang boleh kita perhatikan semasa bulan Ramadhan ini. Sedangkan pada hakikatnya, dan seperti yang berlaku pada tahun-tahun lalu, keadaan seperti itu tidak berkekalan pada bulan-bulan seterusnya. Walau ada kesannya pada pada kita, hanya pada segelintir sahaja daripada kita.

Jadi apalah gunanya, sekiranya kita mengulangi perkara yang sama, yang tidak memberikan kesan pada jiwa dan diri kita. Seharusnya kita perlu berusaha untuk menjadikan diri dan jiwa kita terbina mengikut acuan rabbani, yang seterusnya akan membuatkan kita berasa bahawa nilai dan semagat Ramadhan itu bukan hanya pada bulan Ramadhan, tetapi juga di dalam bulan-bulan yang lain.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama kembali memahami fitrah kejadian dan kewujudan kita di atas muka bumi ini, seperti yang telah ditentukan oleh Allah. Jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai titik tolak kepada kita menjadi seorang yang Rabbani setiap masa, dan seterusnya seorang Ramadhani pada bulan yang mulia ini. Semoga dengan itu, Islam akan dapat kembali tertegak di dalam jiwa setiap umat Islam, dan seterusnya di atas muka bumi untuk menaunginya dan melimpahinya dengan rahmat Allah Taala.

22 August 2009

Re-entry - Ramadhan Kareem


Selamat menyambut bulan Ramadhan 1431H/2010M. Semoga kita diberi kekuatan untuk meningkatkan amal ibadah kita.

18 August 2009

Semarak Ramadhan Jaiputra 2009

Alhamdulillah, semalam telah berlangsungnya satu majlis Di Ambang Ramadhan sempenan pelancaran program Semarak Ramadhan Jaiputra 1430/2009. Majlis yang bermula pada pukul 3.45 petang itu melibatkan seluruh warga Kolej Jaiputra.

Majlis yang telah diadakan buat kali ke 4 ini telah diserikan dengan slot ceramah yang telah disampaikan oleh al-Fadhil Ust. Dr. Sha'rani dari IPKB yang telah menyampaikan ceramah bertajuk Fiqh Puasa, dan juga Dr. Zaharah Sulaiman yang telah menyampaikan ceramah bertajuk Puasa dan Kesihatan. Banyak input yang telah diperolehi dari penyampaian dari kedua-dua penceramah tersebut. Seterusnya majlis diteruskan dengan majlis perasmian Program Semarak Ramadhan oleh En. Wan Mohd Yusof Wan Ismail dengan acara simbolik perasmian dan juga tayangan klip video.

Semarak Ramadhan merupakan satu program berskala besar yang telah diadakan olej Kolej Jaiputra bermula sejak tahun 2006 yang diterajui oleh Ust. Azizee Rohim Japri dengan sokongan tenaga kerja dari MPPKJ dan seluruh pelajar Kolej Jaiputra. Program yang diadakan ini adalah bertujuan untuk menyemarakkan warga kolej agar merebut peluang-peluang yang di bulan Ramadhan untuk menambahkan pahala serta menghidupkan suasana kemeriahan bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah.

Acara kemuncak di dalam program Semarak Ramadhan yang akan diadakan adalah Ithar Ramadhan, iaitu satu program khusus bagi membantu golongan-golongan miskin serta memerlukan bantuan. Melalui aktiviti ini, semangat untuk membantu serta menghulurkan sedekah dan juga sebarang bantuan kepada yang memerlukan dapat dipertingkatkan di kalangan kakitangan kolej serta seluruh pelajar. Selain itu, ia juga dilihat sebagai salah satu tanggungjawab sosial warga kolej pada penduduk setempat yang memerlukan.

Untuk maklumat lanjut, serta perkembangan semasa program Semarak Ramadhan 2009 ini dapat diikuti melalui laman web khasnya iaitu di http://jaiputra.edu.my/ramadhan09 .