02 September 2009

Amal ibadah berganda pahala. Maksiat bagaimana pula?

Asal kepada setiap amal kebajikan akan digandakan ganjarannya oleh Allah Taala, walau apa jua keadaan dan dimana jua seseorang hamba itu berada. Ini adalah berdasarkan kepada keumuman ayat al-Quran dalam surah al-An'am 160.Apatah lagi jika amal kebajikan tersebut dilakukan ditempat-tempat yang mulia yang tertentu seperti di Tanah al-Haram, atau pada masa-masa yang tertentu seperti di bulan Ramadhan. Justeru itu, maka sewajarnyalah bagi setiap hamba itu untuk merebut peluang-peluang gandaan pahala tersebut.

Jadi bagaimana pula dengan sebaliknya, jika amal yang dilakukan itu adalah amal kejahatan dan kemaksiatan? Adakah amal kejahatan itu juga akan digandakan dosanya, sepertimana digandakan pahala bagi yang melakukan amal kebajikan?

Persoalan ini mungkin suatu yang tidak kerap diutarakan di dalam masyarakt kita pada hari ini. Kerana yang menjadi keutamaan dalam setiap ucapan para penceramah, pentazkirah, penulis dan sesiapa sahaja adalah menjurus kepada galakan untuk memperbanyakkan amalan. Akhirnya menyebabkan masyarakat pada hari ini (orang awam) terfokus pada satu aspek sahaja, tetapi mengabaikan pada aspek yang lain; iaitu bersungguh untuk beramal, tetapi dalam masa yang sama, masih lagi dalam keadaan melakukan kemungkaran.

Jika dilihat dari perspektif ilmiah, tidak terdapat nas yang mengatakan bahawa segala maksiat yang dilakukan pada bulan Ramadhan, akan digandakan dosanya, melainkan satu hadis yang bermaksud: "Bertaqwalah pada bulan Ramadhan. Sesungguhnya segala kebaikan (pada bulan Ramadhan) akan digandakan padanya (pahala), dan demikian juga kejahatan (digandakan dosanya)". Walaubagaimana pun, hadis ini diputuskan sebagai dhaif. Akan tetapi, beberapa perkara yang jelas berkenaan dengan permasalahan ini iaitu Allah tidak akan membalas suatu kejahatan melainkan yang seumpama dengannya, seperti yang kita dapat fahami di dalam ayat 160 surah al-An'am. Begitu juga bahawasanya suatu kejahatan itu akan dianggap sebagai satu kesalahan yang amat besar, bukannya gandaan pada dosa, jika ia berkait dengan kemuliaan sesuatu perkara, masa-masa yang dianggap mulia (seperti bulan haram), tempat-tempat yang mulia dan individu yang terlibat dalam perbuatan tersebut (seperti berkata keji terhadap kawan dan berkata keji terhadap ibubapa). Isu gandaan pahala dan dosa ini disimpulkan oleh ulama yang menyebut bahawa, gandaan pahala bagi suatu kebaikan itu adalah dengan sebab al-Kam (bilangan) dan al-Kaif (bagaimana cara). Maksud bagi al-Kam itu adalah satu kebaikan digandakan dengan 10 pahala atau lebih. Manakala maksud al-Kaif pula merujuk kepada satu pahala yang amat besar nilainya (bukan dari segi bilangan). Akan tetapi, bagi kejahatan pula hanya akan dilihat dari sudut al-Kaif sahaja, iaitu setakat mana berat dan teruknya kejahatan yang dilakukan. Jika kejahatan itu di lakukan pada waktu-waktu yang mulia, seperti di bulan Ramadhan, kejahatan tersebut akan dianggap sebagai satu kejahatan yang amat berat sekali, bukan digandakan kejahatan tersebut. Seperti contoh, jika seseorang mencuri di bulan Ramadhan, maka perbuatannya itu dianggap sebagai kesalahan yang amat besar. Tetapi bukannnya dengan digandakan dosanya itu kepada dua kali atau lebih sedang kesalahan yang dilakukannya itu adalah sekali. Ini yang dimaksudkan dengan al-Kaif bagi kejahatan, bukannya dengan al-Kam.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna kita sebagai seorang muslim akan meletakkan dalam minda kita bahawa, tidak mengapa untuk melakukan kesalahan pada bulan Ramadhan ini, kerana dosa yang akan diterima adalah berkadar dengan kesalahan yang dilakukan. Pendirian begini sama sekali tidak boleh diterima, bukan hanya semata-mata di bulan Ramadhan bahkan di bulan-bulan yang lain juga. Perlu diingat bahawa perbincangan ulama tentang perkara ini adalah berdasarkan kepada nas yang sedia ada. Tapi kita juga perlu sedar bahawa pengakhiran kepada suatu perkara adalah kembali kepada Allah, dan Dia lah yang berhak untuk menentukan suatu perkara mengikut kepada hendakNYA. Jadi tidak mustahil jika dosa yang kita lakukan di bulan Ramadhan akan digandakan, jika itu yang dikehendaki oleh Allah. Dan kita sebagai manusia tidak ada hak pun untuk mempertikaikan tentang perkara itu.

Dan jika difikirkan secara logik akal yang waras, bagaimana mungkin bulan Ramadhan yang dimuliakan ini, yang dijamin pahala yang berlipat kali ganda kepada yang melakukan ibadah, kemudian di dalam masa yang sama dicemari dengan perbuatan mungkar yang dilarang untuk melakukannya. Sudah tentu ianya akan lihat sebagai satu perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku. Sudah tentu juga Allah yang memuliakan bulan ini akan murka terhadap perbuatan tersebut. Umpama seorang bos di dalam syarikatnya. Ketika syarikat tersebut dalam keadaan prestasi yang cemerlang, mungkin sahaja bos tersebut akan menawarkan ganjaran bonus kepada pekerjanya yang bersungguh-sungguh melakukan tugasan masing-masing. Tiba-tiba terdapat individu yang melakukan sebaliknya. Malas bekerja, tidak bersungguh-sungguh, atau mungkin melakukan perkara yang boleh merosakkan prestasi cemerlang syarikat. Sudah pasti si bos tersebut, dalam keadaan awalnya ingin menawarkan ganjaran, akhirnya berubah kepada rasa marah dan 'bengang' dengan perlakuan pekerjanya. Jadi tidak akan ada bonus yang akan diberikan, bahkan mungkin pekerja tersebut akan dibuang kerja.

Inilah antara perumpamaan yang boleh digambarkan tentang bagaimana keadaannya satu kesalahan itu jika dilakukan di bulan Ramadhan. Dan inilah realiti yang sedang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini. Pada hari ini kita boleh melihat masyarakat luar sana yang masih ramai lagi mencampurkan antara amal soleh dengan kemungkaran. Lihat sahaja mereka-mereka yang melakukan rasuah sedang mereka adalah berpuasa. Wanita-wanita yang membuka aurat sedang mereka adalah berpuasa. Orang-orang yang berjudi sedang mereka dalam keadaan berpuasa. Mereka-mereka yang masih gembira dengan hiburan-hiburan yang melalaikan sedang mereka semua dalam keadaan berpuasa. Dan banyak lagi perkara-perkara yang tidak disebut di dalam tulisan ini. Persoalannya, apakah yang sedang berlaku sekarang ini? Di mana letakkan kefahaman kita tentang perkara ini? Di manakah pihak-pihak yang sepatutnya memberi faham masyarakat tentang perkara ini? DAN APA PERANAN YANG TELAH KITA MAINKAN UNTUK MERUBAH KEADAAN INI?

Sesungguhnya amat besar tugasan yang perlu kita pikul dan masih banyak yang kerja yang perlu kita lakukan. Masyarakat pada hari ini memerlukan kita untuk mengajak manusia bermujahadah dengan nafsu mereka, agar kebaikan yang Allah tawarkan pada bulan Ramadhan ini dapat kita rebut dengan sebaiknya, dan seterusnya menjadikan Ramadhan ini sebagai titik tolak kepada satu perubahan yang lebih baik ke arah memahami Deen Islami ini. Dan akhirnya menjadikan kita semua sebagai golongan yang akan memperoleh janji Allah untuk mendapatkan nikmat syurga. Amin!

No comments: