24 June 2006

Khatimul Anbiya

Assalamualaikum...

Terasa ingin mencoret sesuatu kali ni. Seketika saya sedang mendengar lagu-lagu dari album Khatimul Anbiya (nasyid arab), tiba-tiba terlintas dalam fikiran tentang beberapa perkara yang berhubung dengan lagu-lagu tersebut. Lagu-lagu di dalamnya kesemuanya adalah berkenaan dengan Habibullah Rasulullah s.a.w, berkenaan dengan risalah yang dibawa baginda, kemuliaan baginda dan pujian-pujian ke atas baginda s.a.w. Dan apa yang diperhatikan terhadap lagu-lagu nasyid arab ni, bukan hanya album Khatimul Anbiya ni, tapi terdapat beberapa lagi buah album yang keluar berselang seli di negara arab, terutama dari negara-negara teluk. Satu persatu album berkenaan dengan junjungan besar diterbitkan. Dan saya merasakan, suasana ini berlaku mungkin disebabkan isu penghinaan ke atas nabi kita melalui karikatur yang telah dilukis dan disiarkan oleh sebuah akhbar di Denmark yang mana telah mengundang kemarahan seluruh umat Islam di dunia. Ada dikalangan umat Islam yang menunjukkan kemarahan mereka berdasarkan emosi semata-mata, sehingga tercetusnya demonstrasi ganas yang menghuru-harakan keadaan. Ada juga yang mengekspresikan kemarahan berdasarkan kepada emosi mereka, tetapi dengan kawalan akal fikiran serta pertimbangan yang waras. Lalu tercetuslah demonstrasi aman, usaha-usaha memboikot barangan Denmark, perbincangan di forum-forum, rundingan, cetusan rasa di dada akhbar dan majalah mahupun di alam maya, demi untuk menyatakan sokongan dan tanda kecintaan terhada nabi serta menyampaikan kefahaman sebenar tentang Islam.

Daripada apa yang telah berlaku di seluruh dunia Islam pada ketika itu (juga sekarang), isu ini juga telah menarik perhatian golongan karyawan islam, antaranya mereka yang terlibat di dalam industri nasyid, terutama di negara-negara Arab. Bermulanya dari timbul isu tersebut, penasyid dari negara Arab telah mengeluarkan satu-persatu album (samada single mahupun kompilasi) yang berkaitan dengan Rasulullah s.a.w. Masing-masing saling bekerjasama dan berlumba-lumba menzahirkan kecintaan mereka terhadap Rasulullah s.a.w melalui alunan-alunan nasyid yang indah dan menyentuh ke dalam hati pendengar, betapa perlunya kita mencintai Rasulullah s.a.w. Album yang mereka telah hasilkan antaranya album Khatimul Anbiya ini. Saya merasakan sesuatu telah menyentuh hati saya bila saya mendengarkan alunan nasyid yang terdapat di dalam album tersebut.

Jadi apa yang saya ingin cetuskan di sini ialah, di mana kita, iaitu para penasyid dari Malaysia berkenaan dengan apa yang telah berlaku di sekitar kira pada hari ini, terutama perkara yang menyentuh tentang agama kita. Apa yang saya dapat perhatikan, tidak banyak di kalangan penasyid kita pada hari ini yang berani untuk berbuat seperti mana yang telah di lakukan oleh saudara-saudara kita yang lain yang berada di tanah arab. Dua keadaan yang cukup berbeza saya rasakan. Saya tidak nampak sesuatu pun daripada penasyid kita yang menzahirkan kecintaan mereka terhadap Rasulullah s.a.w melalui album-album nasyid mereka. Kalau ada pun, tidak sekerap dan sebanyak seperti penasyid Arab. Begitu juga, jika kita andaikan ada, maka yang ada itu pun tidak lebih hanya membawakan bait-bait selawat sahaja, imma yang kita biasa dengar, mahupun selawat yang kita tidak pernah tahu langsung tentangnya.

Bukanlah tujuan tulisan saya ini untuk meng'kondem'kan penasyid tanahair kita, tapi hanya sekadar luahan rasa terhadap apa yang sedang berlaku di dalam industri nasyid tanahair. Maafkan saya jika saya katakan, penasyid Malaysia hari ini tidak lebih hanya sekadar memeriahkan suasana dan mencari keuntungah sahaja, tetapi kesan dan impaknya kepada individu tiada (tidak seperti mana ketika mula-mula nasyid di kontemporarikan). Saya dapat merasakan suasana ini tidak berlaku kepada penasyid luar (seolah-olah nasyid atau lagu berunsur Islam mereka sebagai satu perjuangan yang memperjuangkan prinsip dan pegangan mereka)

Persoalan untuk kita menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w melalui lagu atau nasyid ini sebenarnya hanya sebahagian sahaja dari tanda bahawa kita adalah mencintai Rasulullah s.a.w. Banyak lagi perkara yang perlu dibincangkan dan diperjelaskan berkenaan dengan perkara ini. Tetapi amat malanglah andai salah satu usaha yang kita mampu lakukan itu (melalui nasyid), kita tidak mampu untuk memanfaatkannya. Harapan saya, suatu hari nanti ada perubahan yang akan berlaku kepada industri nasyid kita, perubahan yang akan membawa kepada kita pemahaman yang sebenar tentang islam, perubahan yang mampu merubah manusia, perubahan yang akan membantu kita mempertingkatkan kecintaan kita kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w.

Wallahua'alm

No comments: