16 December 2010

re-Post " Puasa Sunat Hari 'Asyura (10 Muharram)"

Puasa ‘Asyura iaitu puasa pada 10 Muharram adalah antara beberapa jenis puasa yang sunat dikerjakan oleh setiap orang Islam. Bahkan sesetengah ulama meletakkan hukum puasa ‘Asyura ini sebagai sunat muakkad (sunah yang digalakkan) sepertimana yang dapat diistinbatkan daripada hadis berikut:

سنن أبي داود #2442 : حدثنا عبد الله بن مسلمة عن مالك عن هشام بن عروة عن أبيه عن عائشة رضي الله عنها قالت كان يوم عاشوراء يوما تصومه قريش في الجاهلية وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصومه في الجاهلية فلما قدم رسول الله صلى الله عليه وسلم المدينة صامه وأمر بصيامه فلما فرض رمضان كان هو الفريضة وترك عاشوراء فمن شاء صامه ومن شاء تركه.
تحقيق الألباني : صحيح

Maksudnya: Daripada Aisyah radiallahu’anha telah berkata: Hari ‘Asyura adalah hari yang mana orang Quraisy berpuasa pada masa jahiliyyah mereka. Dan Rasullullah SAW juga berpuasa pada hari tersebut pada zaman jahiliyyah. Apabila Rasullullah SAW sampai di Madinah (hijrah), Baginda SAW masih lagi berpuasa (‘Asyura) dan memerintahkannya (puasa ‘Asyura) dikerjakan. Dan apabila difardhukan bulan Ramadhan dengan kewajipan berpuasa, maka amalan puasa ‘Asyura diserahkan pada setiap individu samada mahu melakukannya atau meninggalkannya – Sahih

Lebih lanjut, sila klik pada tajuk...

Banyak lagi hadis-hadis yang menyokong kepada galakkan mengerjakan puasa ini. Antara hadis-hadis tersebut ialah:

صوم يوم عرفة يكفر سنتين ماضية و مستقبلة، وصوم عاشوراء يكفر سنة ماضية
رواه الجماعة إلا البخارى و الترمذى ( ص 229 ).قال الألبانى فى "إرواء الغليل" 4/111: صحيح
Maksudnya: “Puasa pada hari ‘Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun yang lepas dan yang akan datang, dan puasa ‘Asyura menghapuskan (dosa) setahun yang lalu” – Sahih

إن عاشوراء يوم من أيام الله فمن شاء صامه و من شاء تركه
تحقيق الألباني : ‏(‏صحيح‏)‏ انظر حديث رقم‏:‏ 2101 في صحيح الجامع‏
Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Asyura merupakan satu hari daripada hari-hari Allah, maka barangsiapa yang ingin (berpuasa) maka puasalah dan siapa yang ingin (meninggalkannya) maka tinggalkanlah” – Sahih

( سنن أبي داود #2437 : حدثنا مسدد حدثنا أبو عوانة عن الحر بن الصباح عن هنيدة بن خالد عن امرأته عن بعض أزواج النبي صلى الله عليه وسلم قالت كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم تسع ذي الحجة ويوم عاشوراء وثلاثة أيام من كل شهر أول اثنين من الشهر والخميس
تحقيق الألباني : صحيح
Maksudnya: Daripada Hunaidah bin Khalid daripada isteri-isterinya daripada beberapa isteri Nabi SAW telah berkata: Adapun Rasulullah SAW berpuasa pada 9 Zulhijjah dan hari ‘Asyura dan 3 hari pada setiap bulan dan puasa Isnin dan Khamis – Sahih

Daripada beberapa hadis yang dinyatakan sebelum ini, maka jelas kepada kita bahawa puasa sunat hari ‘Asyura iaitu hari pada 10 Muharram ini merupakan antara jenis puasa yang amat digalakkan bagi kita melaksanakannya. Ganjaran yang disediakan di dalamnya, galakkan dari Rasulullah SAW sendiri serta para sahabat RA sepatutnya mampu mendorong kita agar mengambil peluang ini untuk kita menambahkan lagi pahala amalan kita.

Selain perbincangan tentang fadhilat serta galakkan puasat sunat ‘Asyura ini, turut diperbincangkan adalah berkenaan dengan titik tolak kepada amalan puasa sunat ‘Asyura ini. Telah thabit dari beberapa hadis yang sahih bahawa titik tolak kepada galakkan puasa sunat ini adalah berdasarkan kepada hadis bagaimana Rasulullah SAW menegaskan tentang keutamaan bagi orang Islam untuk memperingati dan menghayati perjuangan Nabi Musa AS yang terdahulu dalam mengajak manusia ke jalan Allah. Perkara ini telah disebut oleh Baginda SAW dalam hadisnya, antaranya:

سنن أبي داود #2444 : حدثنا زياد بن أيوب حدثنا هشيم حدثنا أبو بشر عن سعيد بن جبير عن ابن عباس قال لما قدم النبي صلى الله عليه وسلم المدينة وجد اليهود يصومون عاشوراء فسئلوا عن ذلك فقالوا هذا اليوم الذي أظهر الله فيه موسى على فرعون ونحن نصومه تعظيما له فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم نحن أولى بموسى منكم وأمر بصيامه .
تحقيق الألباني : صحيح
Maksudnya: Daripada Ibn Abbas telah berkata: Bila mana Nabi SAW telah tiba di Madinah, didapati kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, maka mereka telah ditanya tentang hal tersebut, maka mereka (Yahudi) menjawab: Hari ini adalah hari yang Allah telah memenangkan Nabi Musa AS ke atas Fir’aun dan kami berpuasa padanya (pada hari tersebut) sebagai membesarkan (mengagungkan) baginya (bagi Nabi Musa AS), maka Rasulullah SAW berkata: “Kami(lah) yang lebih utama (dikaitkan) dengan Nabi Musa (AS)” dan Baginda SAW telah memerintahkan (kepada orang Islam) berpuasa padanya (hari ‘Asyura) – Sahih

Antara istifadhah yang boleh diambil dari hadis ini adalah keperluan untuk umat Islam beriman kepada para rasul, bukan sahaja kepada Rasulullah SAW tetapi juga kepada para nabi dan rasul yang terdahulu daripada Baginda SAW. Ini kerana tugas serta tanggungjawab yang dipikul mereka adalah di atas satu tugas yang sama iaitu untuk mengajak manusia beribadah dan menghambakan diri hanya kepada Allah Taala semata-mata, bukan kepada yang selain daripadaNYA. Bila kita beriman dengan mereka yakni para nabi dan rasul, sudah tentu kita mempunyai ikatan yang kuat dan hampir dengan mereka berbanding dengan umat-umat yang lain (yakni Yahudi dan Nasrani). Maka umat Islamlah yang perlu terkehadapan dan yang paling layak untuk mengenang, memperingati serta menghayati segala usaha dan penat lelah para nabi dan rasul terdahulu. Ini semua adalah kerana satu sebab, iaitu mereka juga adalah Nabi dan Rasul bagi umat Islam keseluruhannya.

Seperkara yang lagi menjadi perbincangan berkenaan dengan puasa ‘Asyura ini ialah bagaimana kita sebagai umat Islam perlu dengan sedayanya untuk memperlihatkan kepada bangsa lain – terutamanya kepada Yahudi dan Nasrani – bahawa umat Islam adalah berbeza dengan mereka. Berbeza bukan sekadar dari sudut aqidah atau penampilan sahaja, bahkan beza tersebut juga perlu dizahirkan dari sudut amalan itu sendiri. Dalam konteks ini, bilamana Rasullah SAW menyarankan kita seupaya berpuasa pada hari ‘Asyura ini, Rasulullah SAW juga di samping itu mengesyorkan kita agar umat Islam membezakan amalan puasa hari ‘Asyura ini dengan orang Yahudi dengan kita berpuasa pada hari sebelum hari ‘Asyura, iaitu pada 9 Muharram. Saranan ini boleh kita perhatikan dengan jelas sepertimana yang terdapat di dalam hadis Rasulullah SAW, antaranya:

سنن أبي داود #2445 حدثنا سليمان بن داود المهري حدثنا ابن وهب أخبرني يحيى بن أيوب أن إسمعيل بن أمية القرشي حدثه أنه سمع أبا غطفان يقول سمعت عبد الله بن عباس يقول حين صام النبي صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء وأمرنا بصيامه قالوا يا رسول الله إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم فإذا كان العام المقبل صمنا يوم التاسع فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله صلى الله عليه وسلم .
تحقيق الألباني : صحيح
Maksudnya: Ibn Abbas berkata: Tatkala Rasulullah SAW berpuasa hari ‘Asyura, Baginda SAW telah memerintahkan kami dengannya (yakni berpuasa ‘Asyura), mereka (para sahabat) telah berkata: Sesungguhnya hari ‘Asyura adalah yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani, maka berkata Rasulullah SAW: “Jika tiba tahun hadapan, maka kita puasa pada hari kesembilan (9 Muharram)”, maka belum lagi tiba tahun hadapan sehingga Rasulullah SAW telah wafat – Sahih

إن عشت إن شاء الله إلى قابل صمت التاسع مخافة أن يفوتني يوم عاشوراء
قال الألباني في "السلسلة الصحيحة" 1 / 619 : أخرجه الطبراني في " المعجم الكبير " ( 3 / 99 / 2 ) من طريقين عن أحمد بن يونس أنبأنا ابن أبي ذئب عن القاسم بن عباس عن عبد الله بن عمير عن # ابن عباس #
مرفوعا. قلت : و هذا سند صحيح رجاله كلهم ثقات
Maksudnya: “Sekiranya aku diizinkan Allah untuk hidup hingga (tahun) hadapan, (pasti) aku berpuasa pada hari kesembilan (Muharram) kerana bimbang aku akan terlepas hari ‘Asyura” – Sanad yang sahih dan semua perawinya adalah thiqah

Daripada dua hadis sudah cukup untuk menjelaskan kepada kita tentang keperluan untuk kita membezakan diri kita sebagai muslim dengan golongan Yahudi mahupun Nasrani. Adalah tidak menjadi kesalahan andai kita ingin berpuasa pada 10 Muharram sahaja, tetapi lebih baik lagi jika kita mampu berpuasa pada hari sebelumnya, demi untuk membezakan amalan kita dengan apa yang diamalkan oleh orang Yahudi. Walaupun daripada hadis tersebut ada mengatakan bahawa Baginda SAW tidak sempat untuk melakukannya (iaitu puasa pada 9 Muharram), tetapi daripada sabda Baginda tersebut sudah cukup untuk menjelaskan perkara ini. Bukan setakat kepada amalan puasa sahaja, tetapi usaha untuk membezakan antara kita dengn Yahudi dan Nasrani perlu kita perluaskannya ke bidang atau sudut-sudut yang lain. Cara berfikir, bertindak, pendirian terhadap suatu perkara serta pendekatannya, penampilan dan apa jua sudut – terutama yang berkaitan dengan aqidah – maka perlu kita usahakan agar kita ini berbeza dengan mereka. Berbeza dalam ertikata bahawa kitalah yang terbaik dalam setiap sudut tersebut.

Menyentuh tentang membezakan amalan puasa ‘Asyura dengan berpuasa pada sebelumnya, terdapat beberapa pendapat yang mengatakan, bukan hanya pada 9 Muharram sahaja, tetapi kita juga boleh berpuasa pada hari selepasnya, iaitu pada 11 Muharram. Pendapat ini telah banyak disebut dan diamalkan oleh masyarakat Islam (termasuk penulis) bahawa jika kita ingin berpuasa hari ‘Asyura maka kita perlu sekalikan puasa tersebut dengan hari sebelumny iaitu 9 Muharram atau dengan hari selepasnya iaitu 11 Muharram. Pendapat ini bukan pendapat kosong, bahkan ada sandarannya seperti mana yang disebut di dalam hadis di bawah:

لئن بقيت لآمرن بصيام يوم قبله أو يوم بعده - يعني يوم عاشوراء
تحقيق الألباني : ‏(‏ضعيف‏)‏ انظر حديث رقم‏:‏ 4649 في ضعيف الجامع‏
Maksudnya: “Jika aku dikekalkan (dipanjangkan umur) akan aku perintahkan (supaya) berpuasa pada hari sebelumnya atau selepasnya – yakni hari ‘Asyura” – Dhoif

Begitu juga dengan hadis berikut:

عن ابن عباس قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " صوموا [يوم] عاشوراء وخالفوا فيه اليهود صوموا يوماً قبله ويوماً بعده "
** رواه أحمد والبزار وفيه محمد بن أبي ليلى وفيه كلام
Maksudnya: Daripada Ibn Abbas telah berkata: Telah berkata Rasulullah SAW: “Berpuasalah (hari) ‘Asyura, dan bezakanlah padanya (yakni puasa ‘Asyura) dengan orang Yahudi dan berpuasalah satu hari pada sebelumnya (hari ‘Asyura) dan (atau) sehari selepasnya (hari ‘Asyura)” – Riwayat Ahmad dan al-Bazzar

Sekiranya dilihat pada status kedua-dua hadis, para muhaqqiq hadis mendapati bahawa kedua-dua hadis dihukum sebagai hadis yang dhoif. Bagi hadis yang diriwayatkan dari Ibn Abbas, muhaqqiq al-muhaddis al-syeikh al-albany mengatakan bahawa terdapat perbincangan di kalangan ulama rijal berkenaan dengan salah seorang perawi yang meriwayatkan hadis tersebut iaitu Muhammad bin Abi Laila. Muhammd bin Abi Laila atau nama penuh beliau al-Hukm bin Zahir al-Ghazari adalah antara perawi yang mempunyi masalah. Ibn al-Hajar al-Asqalani (Tahzib al-Tahzib, 2/428) meletakkan beliau sebagai seorang yang matruk dan dituduh sebagai al-Rafdh. Manakala komen Imam al-Zahabi di dalam kitab beliau al-Kasyif: Telah berkata al-Bukhari: Abaikannya. Jadi sudah jelas kepada kita, mengapa hadis di atas diputuskan sebagai dhoif oleh ulama-ulama hadis kerana padanya terdapat perawi yang lemah dan bermasalah.

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah tidak dijumpai nas yang thabit dari Rasulullah SAW yang menyuruh kita berpuasa pada hari ke 11 Muharram untuk membezakan antara orang Islam dengan orang Yahudi. Walaupun begitu, terdapat beberapa yang perlu diperhatikan. Pertama adalah tidak warid dari Rasulullah yang menyuruh kita berpuasa pada 10 dan 11 Muharram melainkan berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Kedua; adalah tidak menjadi kesalahan andaikata kita hanya berpuasa pada 10 Muharram sahaja, kerana asal galakkan berpuasa pada hari ‘Asyura adalah pada 10 Muharram sahaja. Maka tidak sepatutnya timbul bahawa mereka yang tidak berpuasa pada 9 Muharram tidak dianggap melakukan sunnah dengan berpuasa pada hari ‘Asyura. Ketiga; juga tidak menjadi kesalahan jika kita tetap ingin berpuasa pada 11 Muharram melainkan dengan beberaa syarat. Antaranya tidak menganggap bahawa saranan berpuasa pada 11 Muharram adalah datangnya dari Raslullah SAW, menetapkan dalam hati tujuan berpuasa pada 11 Muharram adalah untuk membezakannya dengan amalan kaun Yahudi kerana ianya termasuk dalam keumuman saranan Rasulullah SAW agar kita sentiasa berbeza dengan Yahudi mahupun Nasrani, dan hanya sebagai amalan individu serta tidak mewarkan-warkan kepada masyarakat umum bahawa kita perlu untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram atau 10 dan 11 Muharram, kerana dibimbangi masyarakat akan berpegangan dengan pendapat tersebut sehingga menyebabkan orang ramai jauh dari hakikat sebenarnya.

Insya allah dengan sedikit penerangan ringkas berkenaan dengan amalan puasa pada hari ‘Asyura ini akan dapat meningkatkan usaha kita untuk melaksanakan amalan-amalan tambahan yang boleh menambahkan lagi pahala kita di akhirat kelak. Semoga ruang-ruang yang telah diberikan oleh Allah Taala kepada kita dapat kita rebut dan pergunakan dengan sebaiknya. Yang benar itu adalah dari Allah dan lemah itu adalah dari kelemahan kita sebagai hambanya. Wallahualam

No comments: