Kenapa masyarakat kita hari ini (terutama pada wanita Islam) melihat aurat itu hanya pada tudung sahaja? Atau kenapa mereka hanya faham bahawa aurat itu semua anggota badan yang hanya perlu ditutup, tanpa melihat bagaimana bentuk atau cara menutup tersebut? Dan banyak lagi persoalan sebenarnya berkenaan dengan isu ini. Bagi aku, walaupun sudah ramai wanita kita yang bertudung dan menutup aurat, tapi pada hakikatnya masih banyak yang mereka tidak fahami berkenaan dengan konsep menutup aurat ni. Antaranya; mereka menutup aurat, tetapi bagi mereka aurat itu hanya pada tudung, bukan pada anggota badan yang lain. Mereka menutup aurat, tetapi mereka tetap juga menampakkan bentuk tubuh badan mereka. Mereka menutup aurat, tetapi masih lagi tetap ada unsur-unsur tabarruj (jangok kalau ikut bahasa Kelantan) yang mana kononya adalah fesyen busana muslimah. Bagi aku, unsur tabarruj ini lah yang mereka masih tak faham-faham lagi.
Kemudian seperkara lagi, kenapa timbul di kalangan wanita Islam hari ini yang berkata mereka hanya akan memakai tudung (sepatutnya menutup aurat) bila sudah sampai seru? Ataupun bertudung (sekali lagi sepatutnya menutup aurat) bila diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah? Bukan ke perintah menutup aurat ini adalah suatu perintah dari Allah yang telah ada sejak dari dulu lagi? Sepatutnya, sejak mula-mula kita menghirup oksigen di dunia ini, dan sejak kita membuka mata kita buat pertama kali setelah keluar dari rahim ibu, semua perintah dari Allah itu secara otomatiknya ditujukan kepada kita semua. Jadi kenapa pula kita perlu tangguhkan perlaksanaan semua perintah Allah; baik perintah melaksanakan mahupun perintah meninggalkan, pada suatu masa tertentu, sedangkan perintah tersebut telah pun ada? Bila fikir semula persoalan-persoalan ni, aku jadi tidak faham dan pening dengan masyakarat kita sekarang ni. Tak tahu la apa nak jadi....
No comments:
Post a Comment