03 October 1990

Sunah berbuka yang dilekakan

Sunnah berbuka puasa yang dilekakan…

Salah satu kegembiraan yang dirasai oleh umat Islam ialah ketika berbuka puasa sepertimana yang telah disebut di dalam hadis baginda al-Rasul s.a.w yang bermaksud: “… bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan yang akan mengembirakannya (iaitu) apabila berbuka, mereka berasa gembira, dan apabila bertemu dengan tuhannya, (maka tuhannya) gembira dengan puasanya” – Bukhari (1499), (6175), Muslim (2550), Ibn Majah (1638), al-Nasai (2215). Hadis yang cukup sinonim dan rapat dengan umat Islam pada setiap kali tibanya bulan Ramadan ini, jelas menunjukkan kepada kita betapa Islam mengambil berat tentang berbuka puasa. Termasuk di dalam konteks mengambil berat ini, usaha umat Islam untuk berbuka puasa dengan mengikuti sunnah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Antara sunnah yang cukup dijaga oleh umat Islam pada hari ini ialah dengan menyegerakan berbuka puasa.

Telah sabit di dalam hadis Rasulullah s.a.w tentang menyegerakan berbuka puasa, sepertimana yang kita dapat perhatikan di dalam hadis Baginda s.a.w yang bermaksud: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka bersegera dalam berbuka puasa” – muttafaqun ilaih. Hadis ini cukup popular dan berlegar di sekeliling umat Islam dengan meluas setiap kali tibanya bulan Ramadan. Apatah lagi dalam keadaan umat Islam berpuasa sepanjang siang hari, maka sunnah Rasulullah s.a.w ini dianggap sebagai satu sunnah yang cukup relevan untuk dipraktikkan ketika berbuka puasa dek kerana dorongan rasa lapar serta juadah lazat yang pelbagai.

Walaubagaimanapun, dalam kesungguhan kita mempraktikkan sunnah ini, kita terlupa satu lagi sunnah yang seharusnya kita perhatikan dan kita ambil berat ketika berbuka puasa. Sunnah yang dimaksudkan itu adalah menyegerakan solat Maghrib. Perkara ini adalah berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan di dalam Sahih Muslim (bab Fadhilat Sahur, 1099) daripada Abi ‘Athiyyah telah berkata: Aku dan Masruq telah bertemu dengan ‘Aisyah radhiallahu’anha, dan telah berkata Masruq kepadanya: Dua orang lelaki dari kalangan sahabat Muhammad s.a.w, yang mana keduanya bersungguh-sungguh untuk melakukan kebaikan; salah seorang menyegerakan Maghrib dan ifthor, dan seorang lagi melewatkan Maghrib dan ifthor. Maka berkata ‘Aisyah: Siapa yang menyegerakan Maghrib dan ifthor?, berkata Masruq: Abdullah – iaitu Ibn Mas’ud, maka ‘Aisyah berkata: Demikianlah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Hadis dengan jelas menunjukkan bahawa menyegerakan solat Maghrib itu adalah sunnah yang telah dilakukan oleh Baginda s.a.w di samping Baginda s.a.w menyegerakan berbuka puasa.

Kalau kita melihat apa yang berlaku pada masyarakat kita pada hari ini, yang dapat kita perhatikan adalah ramai di kalangan kita lebih menumpukan kepada bersegera untuk berbuka puasa. Tetapi amatlah malang kerana masa yang mereka ambil untuk berbuka itu terlalu lama sehingga ada di antara kita yang menunaikan solat Maghrib di penghujung waktu. Dan ini jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w seperti yang dinyatakan dalam hadis sebelum ini. Tetapi perlu difahami, bertentangan di sini bukanlah bermaksud yang dilakukan oleh orang Islam itu sebagai satu perkara yang salah, tetapi lebih kepada ketidaktepatannya dengan amalan sunnah. Di manakah kebenarannya andai kita berkata: ‘kita kena buka puasa selalu bila masuk waktu’ atau ‘buka puasa tak boleh lambat-lambat sebab nabi suruh kita bersegera berbuka’ atau ‘bersegeralah kamu untuk berbuka kerana sesungguhnya ia adalah sunnah nabi’ atau lain-lain ucapan, sedangkan dalam masa yang sama, kita dengan sengaja melambat-lambatkan untuk menunaikan solat Maghrib. Kita yakin, tidak semua orang begitu, tetapi kita juga yakin, sebenarnya ramai orang yang sebegitu.

Jadi, apakah langkah yang sepatutnya kita lakukan demi untuk menjaga kedua-dua sunnah Nabi s.a.w ini? Mungkin satu penyelesaian yang boleh diutarakan di sini, iaitu dengan kita bersegera berbuka dengan memakan ruthob atau tamar atau hanya dengan air terlebih dahulu (seperti yang disarankan olah Baginda s.a.w dalam hadisnya yang sahih, Abu Daud – 2355, 2356, al-Tirmizi – 694, 696), kemudian terus bersegera untuk menunaikan solah Maghrib (afdhal secara berjamaah). Sesudah itu barulah kita menyambung semula untuk menikmati juadah yang telah disediakan. Barangkali langkah ini sememangnya telah diamalkan oleh mereka yang faham tentang Islam, tapi perlu diingat juga bahawa, di luar sana masih ramai yang tidak melaksanakan langkah ini akibat kerana mempunyai tahap kefahaman yang perlu lagi dipertingkatkan. Kita tidak akan rugi kalau kita dapat menjaga kedua-dua amalan sunnah ini. Bahkan ianya akan dapat membantu kita untuk kita merebut ganjaran pahala yang ada pada keduannya. Analoginya adalah; mereka yang menyegerakan berbuka dan solat maghrib akan mendapat pahala berbuka dan solat di awal waktu, tetapi mereka yang melewatkan solat Maghrib hanya kerana memberi tumpuan untuk berbuka mungkin hanya akan mendapat pahala berbuka puasa, tetapi tidak bagi pahala solat di awal waktu.

Antara hikmah yang dapat kita simpulkan dari hadis di atas – iaitu mengapa ‘Aisyah radiallahu’anha mengesahkan bahawa yang menjadi amalan Baginda s.a.w adalah menyegerakan berbuka dan solat Maghrib – ialah untuk mengelakkan orang Islam agar tidak terlalu kekenyangan selepas berbuka sehingga boleh mengganggu kita untuk khusyuk di dalam solat. Kegagalan kita untuk khusyuk di dalam solat dengan disebabkan faktor kekenyangan itu, bererti gagalnya kita mencapai tahap solat yang terbaik. Oleh yang demikian, sewajarnya kita – yang ingin beramal dengan sunnah – berusaha sedaya upaya kita untuk melaksanakan apa yang telah disebut di dalam hadis di atas demi untuk kita mendapat ganjaran dan pahala dari Allah. Semoga Ramadan kali ini kita tidak rugi lagi.

Wallahua’alam

3 Oktober 2006 / 10 Ramadhan 1427

ontah_apo@yahoo.com

Kolej Jaiputra

No comments: