Sekiranya kita terdengar atau terbaca mengenai paksaan, pasti kebanyakan dari kita akan menganggap bahawa paksaan adalah suatu yang tidak disukai lantaran ianya menafikan hak kebebasan seseorang. Begitu juga akan ada orang yang akan mengatakan bahawa tiada paksaan dalam agama, lantas membawakan dalil dari surah al-Baqarah ayat 256. Dikuatkan lagi dengan terdapatnya banyak perbahasan di kalangan ulama berkenaan dengan paksaan atau al-Ikrah di dalam kitab-kitab fiqh mahupun usul al-Fiqh.
Kenyataan di atas kesemuanya adalah benar dan memang tidak dinafikan. Akan tetapi mari kita fikirkan sekali lagi berkenaan dengan paksaan ini dengan cara pemikiran di luar kotak (thingking out from the box).
Satu persoalan boleh kita lontarkan bagi menjadi pencetus kepada pemikiran dari sudut yang berbeza tentang paksaan ini. Apakan Allah menciptakan 'paksaan' atau perasaan 'rasa dipaksa' ini kesemuanya menjurus kepada keburukan ? Atau di sana terdapat juga nilai-nilai kebaikan dalam paksaan ini? Samalah juga dengan beberapa pandangan yang menyatakan bahawa segala kemungkaran yang Allah larang; selain ianya sendiri suatu yang buruk, tetapi terdapat juga kebaikannya bilamana kemungkaran-kemungkaran ini akan dapat menjadikan kita sebagai orang yang lebih banyak bersabar dan berhati-hati dalam setiap tindakan kita. Begitu juga apabila kita mengatakan bahawa setiap bala bencana yang Allah turunkan pasti ada di sana hikmah dan kebaikannya.
Begitulah juga dengan paksaan ini. Suatu paksaan akan dilihat sebagai suatu yang buruk apabila ia dikaitkan dengan perkara-perkara yang negatif seperti paksaan dari seseorang ke atas orang lain agar melakukan suatu yang dilarang oleh Allah. Contoh seperti seseorang yang dipaksa untuk minum arak, membunuh orang lain, dipaksa untuk berbohong dengan perkara yang bukan hak dan lain-lain lagi. Sebaliknya, jika suatu paksaan itu dikaitkan pula dengan kebaikan; berserta beberapa syarat yang perlu dijaga, sudah pasti paksaan itu adalah suatu yang positif.
Mari kita sama-sama melihat tentang perkara ini dalam konteks bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan seperti yang kita fahami adalah bulan yang penuh dengan barakah, rahmat dan segala macam ganjarannya. Setiap muslim adalah dituntut untuk merebut peluang keemasan ini sebagai bekalan di akhirat kelak. Antara yang dituntut adalah dengan memperbaiki amal ibadat lantas memperbanyakkannya di bulan ini. Bagi mereka yang telah selesai perkara-perkara asas tentang Islam, mungkin ianya suatu yang mudah untuk melakukan ibadat di bulan ini. Tetapi bagaimana dengan mereka yang masih kurang dari segi perkara-perkara asas tentang agama ini? Adakah dengan keadaan mereka yang sedemikian akan membuatkan mereka untuk terus leka dan membiarkan Ramadhan dengan begitu sahaja? Sudah pasti perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku ke atas seorang muslim. Oleh yang demikian, kita sebagai seorang muslim harus memberi kesedaran kepada mereka bahawa mereka perlu memaksa diri mereka sekuat yang mungkin untuk merebut segala peluang ibadah yang ada di dalam bulan Ramadhan.
Memaksa diri agar dapat mendirikan solat tarawih walaupun ianya mungkin memenatkan.
Memaksa diri untuk melakukan tilawah sebanyak mungkin walaupun bacaannya kurang sempurna.
Memaksa diri untuk mengeluarkan infaq biarpun sedikit, walaupun sumber kewangannya adalah terbatas.
Memaksa diri untuk bangun malam melakukan ibadah sunat walaupun terpaksa membataskan masa rehat dan masa tidur.
Memaksa diri untuk tidak melakukan perkara-perkara yang lagho, apatah lagi kalau kemungkaran, walaupun semua perkara tersebut adalah perkara yang menyeronokan hati.
Memaksa diri agar berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah, memohon keampunan dariNYA, memohon kekuatan dariNYA untuk beramal soleh, walaupun sebelum ini ianya suatu yang sukar untuk dilakukan.
Persoalannya kini, adakah kita mampu untuk memaksa diri kita bagi tujuan tersebut? Jawapannya adalah ya, kita mampu untuk melakukannya. Ini kerana Allah telah menetapkan bahawa setiap yang perintahkan, pasti mampu untuk dilakukan (al-Baqarah 286). Jika masih lagi merasakan tidak mampu, maka di luar sana banyak lagi faktor yang boleh menjadi pendesak. Jadikan Ramadhan sebagai pendesak dan pemaksa untuk kita melakukan ibadah. Jadikan janji pahala dan dosa, syurga dan neraka sebagai pendesak bagi kita melakukan amal soleh dan meninggalkan amal mungkar. Jadikan orang-orang di sekeliling kita sebagai pihak yang boleh mendesak kita untuk mencapai tujuan tersebut. Jadikan juga suasana kehidupan hari ini; perkara-perkara yang Islamik, untuk mendesak kita menjadi pendokongnya, dan perkara-perkara kemaksiatan dan masalah sosial, untuk mendesak kita agar menjadi ejen yang boleh mengatasi dan mengubahnya kepada kebaikan.
Semua ini tidak mustahil dan boleh dilaksanakan, selagi ianya terikat dengan kaedah-kaedah Islam.
Di dalam al-Quran menyebut agar kita bersegera dalam melakukan kebaikan (Ali Imran 114, 133, al-Anbiya 90, al-Mukminun 61). Dan begitu juga di dalam hadis terdapat saranan untuk kita bersegera / mubadarah untuk melakukan amal kebaikan (sahih Muslim 328, 7584, 7585). Jika diteliti arahan untuk 'bersegera' ini, kita dapati terdapat di sana unsur-unsur paksaan; iaitu paksaan ke arah kebaikan. Seolah-olah apabila kita meminta seseorang untuk segera melakukan sesuatu, bererti kita memaksa (bukan dengan kekerasan dan bukan untuk tujuan keburukan) untuk dia melakukannya dengan pantas berdasarkan kemampuannya.
Kesimpulannya, selagi mana paksaan yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan, dan terikat dengan batas-batas Islam (iaitu dengan tidak melibatkan unsur ghuluw / melampaui batas), maka kita harus untuk memaksa diri kita atau orang lain agar dapat dan terus melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Allah.
Jadi untuk akhirnya, bersempena dengan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama berusaha dan memaksa diri kita ke tahap paling tinggi agar kita dapat merebut segala peluang ganjaran yang Allah tawarkan kepada kita sebagai bekalan di akhirat kelak.
Sesungguhnya Allahlah yang maha mengetahui akan segalanya.
No comments:
Post a Comment