Assalamualaikum...
Sebetulnya aku bukan seorang penggemar buku novel. Lantaran itu terlalu sedikit kiranya buku novel yang pernah aku baca. Kalau tak silap aku, hanya 4 buah novel dalam bahasa melayu yang aku pernah baca. Pertama novel 'Jibam' yang aku tak ingat bila aku baca novel ni. Kemudian kedua adalah novel 'Imam' karya sasterawan negara aku baca sungguh-sungguh pada tahun 1996. Ketiga adalah novel 'ADAM - Aku Darah Anak Malaysia' (kalau tak silap aku) yang aku baca ketika aku di Irbid. Dan yang terkini, 'Ayat-ayat Cinta', sebuah novel best seller di Indonesia tahun 2006 karya Habiburrahman el-Sherazy. Dalam ke empat-empat novel tersebut, 'Imam' dan 'Ayat-ayat Cinta adalah novel yang mempunyai sentuhan serta nilai-nilai Islam.
Ok kali aku nak bercerita sedikit tentang novel 'Ayat-ayat Cinta' yang aku habis membacanya pada hari ni. 2 hari aku pulun membaca novel ni dek kerana tarikan yang ada padanya. Sebuah novel yang mengisahkan perjalanan hidup seorang mahasiswa Indonesia peringkat MA al-Azhar di Mesir. Bermula dengan kisah di dalam Metro yang cukup untuk menonjolkan peribadi dan tahap kefahamannya tentang agama Islam sehingga mampu berdepan dengan masyarakat arab di Mesir. Dan perjalanannya berterusan dengan beberapa rentetan peristiwa suka, duka, romantik, dramatik, keinsafan sehinggalah ke akhir cerita, ke semuanya cuba untuk disertakan di dalamnya nilai-nilai islam yang menginsafkan jiwa. Aku rasa tak perlu aku ceritakan sinopsis novel tersebut di sini. Tapi ada sedikit komentar yang aku ingin kongsikan di sini.
Pertama sekali, bila selesai sahaja membaca novel ni, aku boleh katakan bahawa, kisah di dalamnya melalui gambaran watak-watak yang ada adalah terlalu idealistik tetapi tidak mustahil boleh berlaku. Ini kerana aku melihat, hampir ke semua watak, terutama watak utama iaitu Fahri, kelihatannya terlalu baik dan boleh berhadapan dengan apa jua situasi di Mesir, dan dengan sesiapa jua. Kalau dilihat pada realitinya semasa, aku rasa susah nak jumpa orang seperti Fahri di dalam novel ni. Tapi seperti aku katakan, too idealistic but it's not impossible.
Kedua, novel ini agak banyak senario yang melibatkan wanita. Walaupun keterlibatan watak lelaki juga tidak kurang, tapi aku rasa seolah-olah kewanitaan itu lebih mendominasi. Mungkin kerana novel ini berkisar tentang cinta dalam pelbagai sudut, agaknya laaa...
Ketiga, nilai islam yang dimasukkan ternyata mampu mengesankan hati pembacanya. Setiap ayat quran dan hadis disebutkan sumbernya, begitu juga dengan fakta-fakta yang pelbagai, sehinggalah kepada penghayatan islam itu yang dapat dilihat melalui jalan ceritanya yang dibawa oleh setiap watak utama. Boleh dikatakan hampir keseluruhan cerita ini tidak terlepas daripada dimasukkan nilai-nilai islam. Mahu dikatakan novel ini sebagai novel ilmiah, rasanya tidak. Tetapi untuk mengatakan novel ni sepenuhnya novel semata-mata, pun tidak juga. Aku rasa, ini adalah antara novel yang berjaya mengadun sebuah cerita bersama-sama dengan unsur-unsur ilmiah yang terlalu jarang untuk kita temui.
Kesimpulan aku terhadap novel ni, sebuah novel yang cukup baik. Dan alangkah elok sekiranya para remaja kita pada hari ini boleh membaca dan menghayati dan mengambil iktibar dari kisah tersebut, terutama perkara yang menyangkut paut tentang cinta. Ini kerana pada hari ini, antara punca kerosakan yang berlaku di kalangan remaja kita adalah yang berkaitan dengan cinta. Semoga dengan pembacaan terhadap novel ini, kita akan menjadi lebih mengerti tentang apakah dia cinta yang sebenar, cinta yang hakiki......
Sabtu, 3/3/2007, 22:29 pm