25 August 2009

Rabbani Ramadhani

تكن ربانيين ولا تكن رمضانيين

Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang digambarkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai bulan yang istimewa dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Umat Islam di seluruh dunia diperjelaskan melalui penyampaian para ulama bahawa terdapat 3 perkara di bulan Ramadhan yang tidak kedapatan di bulan-bulan yang lain, iaitu solat tarawih, penurunan al-Quran dan malam al-Qadr (Lailatulqadar). Begitu juga dengan kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan yang lain yang dirasakan sudah terlalu amat banyak diperkatakan dan disampaikan oleh umat Islam melalui berbagai-bagai cara dan medium. Walaupun begitu, keadaan ini perlu diteruskan sebagai satu bentuk peringatan dan motivasi berterusan agar umat Islam tidak leka dalam merebut semua peluang untuk mendapatkan kebaikan di dalam bulan Ramadhan ini.

Walau bagaimanapun, perkara yang hendak ditumpukan di dalam penulisan ini adalah berkenaan dengan ibarah atau kata-kata di atas yang bermaksud: Jadilah sebagai seorang yang rabbani, dan janganlah kamu menjadi seorang yang ramadhani (sahaja).

Secara zahirnya terdapat sedikit nilai negatif di dalam kata-kata tersebut, iaitu larangan daripada menjadi seorang yang benar-benar menghayati bulan Ramadhan dengan amal ibadahnya. Sedangkan menghayati bulan Ramadhan melalui amal ibadah itu adalah suatu yang amat dituntut di dalam Islam. Jadi di manakah kebenaran maksud bagi kata-kata ini?

Jika kita menghayati dengan lebih mendalam lagi terhadap keseluruhan maksud kata-kata ini, sesungguhnya kita akan mendapati ianya cuba membawa kita kepada satu bentuk kefahaman yang sepatutnya difahami oleh seluruh umat Islam. Perintah untuk kita menjadi golongan rabbani bermaksud tuntutan ke atas seluruh umat Islam untuk kembali menghayati dan memahami tentang matlamat dan tujuan diciptakan manusia serta tugasan dan kewajiban yang perlu dilaksanakan, sepertimana yang telah ditentukan oleh Allah Taala. Itulah dia aqidah yang selamat, ibadah yang benar dan dakwah yang berterusan, perlu difahami sebaik-baik oleh setiap umat Islam. Dan apabila orang Islam itu telah memahami segala yang sepatutnya difahami daripada perkara-perkara tersebut, maka kita akan dapati bahawa jiwa, peribadi dan amalan seseorang itu akan berada dalam keadaan yang baik pada setiap detik waktu kehidupannya, bukannya pada masa-masa yang tertentu sahaja.

Manakala larangan daripada menjadi golongan bagi bulan Ramadhan sahaja bermaksud seseorang Islam itu tidak sepatutnya menjadikan hanya pada bulan Ramadhan sahaja untuk dia dapat melakukan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh, merubah keperibadiannya kepada yang lebih baik berbanding di luar Ramadhan atau mula untuk mempelajari tentang matlamat dan tujuan hidupnya. Akan tetapi, apabila Ramadhan berlalu pergi, maka dia akan kembali kepada keadaan semasa sebelum ketibaan Ramadhan.

Pada hakikatnya, inilah realiti yang berlaku dalam diri kebanyakan umat Islam pada hari ini. Pada bulan Ramadhanlah kita akan dapat melihat masjid-masjid dipenuhi oleh umat Islam, bukan sekadar untuk menunaikan solat tarawih, bahkan solat-solat fardhu yang lain. Begitu juga dengan al-Quran yang menjadi bacaan utama oleh setiap orang tanpa mengira masa dan tempat serta keadaan. Sifat dermawan meningkat (walaupun di Malaysia masih tidak setanding di negara Arab) lantas mendorong orang untuk melakukan amal sadaqah dan zakat. Aurat-aurat wanita mula tidak kelihatan lantaran kaum wanita menutupnya dan berhijab. Aktiviti-aktiviti lagha (seperti yang didapati di television) digantikan dengan program-program keagamaan, walaupun hanya sekadar syiar sahaja. Dan pelbagai lagi perkara-perkara baik yang boleh kita perhatikan semasa bulan Ramadhan ini. Sedangkan pada hakikatnya, dan seperti yang berlaku pada tahun-tahun lalu, keadaan seperti itu tidak berkekalan pada bulan-bulan seterusnya. Walau ada kesannya pada pada kita, hanya pada segelintir sahaja daripada kita.

Jadi apalah gunanya, sekiranya kita mengulangi perkara yang sama, yang tidak memberikan kesan pada jiwa dan diri kita. Seharusnya kita perlu berusaha untuk menjadikan diri dan jiwa kita terbina mengikut acuan rabbani, yang seterusnya akan membuatkan kita berasa bahawa nilai dan semagat Ramadhan itu bukan hanya pada bulan Ramadhan, tetapi juga di dalam bulan-bulan yang lain.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama kembali memahami fitrah kejadian dan kewujudan kita di atas muka bumi ini, seperti yang telah ditentukan oleh Allah. Jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai titik tolak kepada kita menjadi seorang yang Rabbani setiap masa, dan seterusnya seorang Ramadhani pada bulan yang mulia ini. Semoga dengan itu, Islam akan dapat kembali tertegak di dalam jiwa setiap umat Islam, dan seterusnya di atas muka bumi untuk menaunginya dan melimpahinya dengan rahmat Allah Taala.

22 August 2009

Re-entry - Ramadhan Kareem


Selamat menyambut bulan Ramadhan 1431H/2010M. Semoga kita diberi kekuatan untuk meningkatkan amal ibadah kita.

18 August 2009

Semarak Ramadhan Jaiputra 2009

Alhamdulillah, semalam telah berlangsungnya satu majlis Di Ambang Ramadhan sempenan pelancaran program Semarak Ramadhan Jaiputra 1430/2009. Majlis yang bermula pada pukul 3.45 petang itu melibatkan seluruh warga Kolej Jaiputra.

Majlis yang telah diadakan buat kali ke 4 ini telah diserikan dengan slot ceramah yang telah disampaikan oleh al-Fadhil Ust. Dr. Sha'rani dari IPKB yang telah menyampaikan ceramah bertajuk Fiqh Puasa, dan juga Dr. Zaharah Sulaiman yang telah menyampaikan ceramah bertajuk Puasa dan Kesihatan. Banyak input yang telah diperolehi dari penyampaian dari kedua-dua penceramah tersebut. Seterusnya majlis diteruskan dengan majlis perasmian Program Semarak Ramadhan oleh En. Wan Mohd Yusof Wan Ismail dengan acara simbolik perasmian dan juga tayangan klip video.

Semarak Ramadhan merupakan satu program berskala besar yang telah diadakan olej Kolej Jaiputra bermula sejak tahun 2006 yang diterajui oleh Ust. Azizee Rohim Japri dengan sokongan tenaga kerja dari MPPKJ dan seluruh pelajar Kolej Jaiputra. Program yang diadakan ini adalah bertujuan untuk menyemarakkan warga kolej agar merebut peluang-peluang yang di bulan Ramadhan untuk menambahkan pahala serta menghidupkan suasana kemeriahan bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah.

Acara kemuncak di dalam program Semarak Ramadhan yang akan diadakan adalah Ithar Ramadhan, iaitu satu program khusus bagi membantu golongan-golongan miskin serta memerlukan bantuan. Melalui aktiviti ini, semangat untuk membantu serta menghulurkan sedekah dan juga sebarang bantuan kepada yang memerlukan dapat dipertingkatkan di kalangan kakitangan kolej serta seluruh pelajar. Selain itu, ia juga dilihat sebagai salah satu tanggungjawab sosial warga kolej pada penduduk setempat yang memerlukan.

Untuk maklumat lanjut, serta perkembangan semasa program Semarak Ramadhan 2009 ini dapat diikuti melalui laman web khasnya iaitu di http://jaiputra.edu.my/ramadhan09 .


Ramadhan Tiba _Opick

Ramadhan tiba 3x
Marhaban ya Ramadhan 4x

Ramadhan tiba semua bahagia
Tua dan muda bersukacita
Bulan ampunan bulan yang berkah
Bulan terbebas api neraka

Andaikan saja Ramadhan semua
Bulan yang tiba bulan yang ada
Hanya besarnya setiap perkara
Yang dijanjikan kepada kita

Marhaban ya ramadhan 4x

Dalam bersahur ada pahala
Dalam berbuka alangkah indah
Menahan diri menahan lidah
Menjaga hati menjaga mata

Banyakkan amal hari-harinya
Pahala datang berlipat ganda
Berlumba-lumba untuk ibadah
Dunia bahagia syurga nantinya

Ramadhan tiba 3x

Dan semoga setiap jiwa
Dibangunkan ampunannya
Dan semoga hapus semua
Kesalahan setiap jiwa

Marhaban ya Ramadhan 4x

p/s: Tak sabarnya nak tunggu Ramadhan. Pada yang nak mendengar lagu di atas, boleh klik pada banner di sebelah, atau klik pada Semarak Ramadhan 09

13 August 2009

Pertanyaan

Assalamualaikum

Baru-baru ni, aku telah bersms dengan x student kolej, yang pernah jadi student aku. Sekarang ni dia sambung pengajian dia di KUIN (kalau tak silap). Dia ni banyak tanya macam-macam kat aku, kekadang tu sampai pada perkara-perkara yang payah untuk aku jawab. Anyway, syukran kerana sudi bertanyakan soalan pada aku, walaupun ilmu yang aku ada ni, rasa sikit sangat berbanding dengan sesetengah orang lain.

Berikut antara persoalan yang dia lontarkan pada aku. Pada sesiapa yang boleh tolong jawabkan, tolong lah bagitau ye!

1- Apakah amalan yang khusus pada malam nifsu syaaban?
2- Benarkan apa yang saya dengar, orang yang kahwin lain takkan jumpa suami atau isteri asal di akhirat kelak?
3- Ada pendapat mengatakan bahawa nak solat jama' kena gerak 2 marhalah dulu, baru boleh jama'. Ada pendapat kata, kalau kita nak jalan jauh (2 marhalah atau lebih), kita boleh jama' sebelum sampai 2 marhalah, dengan syarat kita kena keluar dulu dari rumah kita. Contohnya naik kereta dulu, kemudian singgah solat kat mana-mana, baru sambung perjalanan ke destinasi yang dituju.

Sapa boleh tolong jawab, tolong bagitau deh!

11 August 2009

My Desktop - aspirasiku

Antara kelebihan Ubuntu (Linux amnya) adalah switcher antara desktop. Perhatikan blog aspirasiku berada di tengah-tengah antara 2 desktop.

Ayahku Tercinta (juga keluargaku yang lain)

BAKHTIAR bangga mewarisi kemahiran membuat songkok tradisional.


Bakhtiar gigih hasilkan seni warisan sejak 34 tahun lalu biarpun berdepan saingan

MELIHAT kegigihan seorang warga emas menjahit songkok, timbul persoalan, apakah akan terjadi untuk tempoh 10 tahun akan datang. Siapa yang akan memastikan kesinambungan menyiapkan warisan tradisi bangsa Melayu ini, adakah akan lupus ditelan zaman?

Tidak ramai yang sanggup membabitkan diri dalam bidang pembuatan songkok, ada yang menganggapnya kerja remeh dan mendakwa tidak mempunyai masa depan berbanding bidang lain yang lebih terjamin dari segi pendapatan.

Namun, bagi Bakhtiar Mustafa yang sudah pun mencecah usia 73 tahun, itulah sumber menyara keluarga dan lebih penting, usaha itu dapat memastikan tradisi pakaian bangsa Melayu itu akan terus bertahan.

Meskipun kian dimamah usia, Bakhtiar cukup tekun dan bersemangat bekerja, matanya tetap tajam, fokus meneliti jarum dan gerak tari mesin jahit di kedai menjahit songkok di Pasar Keramat, Kuala Lumpur.

Logiknya pada usia emas begitu, tidak ramai yang masih sanggup dan mampu menjahit dengan baik kerana kerjaya sebagai pembuat songkok memerlukan penelitian cukup halus, cermat dan sering dianggap remeh.

Bagi Bakhtiar, beliau bernasib baik kerana daya penglihatan masih baik dan menjadi satu kelebihan baginya. Malah beliau cukup bersyukur dengan nikmat itu yang membolehkannya meneruskan usaha dengan sehingga ke hari ini. Jika tidak, sudah pasti punca rezekinya terjejas.

Pengalaman lebih 34 tahun mengabadikan diri dalam usaha pembuatan songkok membuatkan Bakhtiar cukup sedar jika tidak diteruskan tradisi ini, ia akan memberi petanda tidak baik yang boleh menjejaskan kesinambungan seni warisan Melayu.

“Jika berminat nak jadi pembuat songkok, kena banyak bersabar, kena tekun, teliti dan paling penting jangan mudah berputus asa. Mesti berguru dan saya sendiri ambil masa hingga tiga tahun untuk benar-benar yakin pada diri sendiri untuk hasilkan songkok untuk dijual.

“Kita menghasilkan sesuatu untuk dipakai, mestilah hasilnya selesa dipakai dan cantik dipandang. Ini budaya kita dan kita mesti jaga,” katanya.

Proses membuat songkok bermula dengan proses memotong pelan kertas yang sudah siap disulam dengan jahitan warna asas di dalam songkok, biasanya berwarna biru. Kertas pelan yang ditempah khas itu akan dipotong dua untuk dibentuk asas tepi songkok.

Potongan siap itu akan diukur mengikut saiz ditetapkan dan kebiasaannya, ukur lilit kepala orang dewasa ialah antara 21 hingga 24 inci, manakala saiz kanak-kanak adalah bawah 21 hingga 16 inci.

Bakhtiar akan memotong mengikut ukuran pembaris dan kaedah tradisional dengan menemukan kedua-dua hujung potongan itu untuk dipadankan.

“Kadang kala memang kita ukur ikut saiz tetapi mesti ukur kedua penghujung. Ini akan membantu ketepatan, boleh nampak terus sesuai atau tidak,” katanya.

Seterusnya, potongan ukur lilit kepala itu akan dijahit kemas sebanyak dua kali di sebelah dalam bagi memastikan cengkaman kuat termasuk satu daripadanya dijahit bersama kulit kecil.

Penutup songkok pula dibuat berdasarkan keperluan. Bagi songkok biasa atau standard, saiz ketinggiannya ialah 3 1/4 inci manakala bagi songkok tinggi atau lebih popular dengan gelaran songkok Johor, ketinggiannya melebihi 4 inci.

Songkok Johor itu mempunyai ketinggian permukaan atas tidak rata dan tinggi di bahagian tepi manakala songkok standard mempunyai permukaan sama rata.

Songkok yang siap dijahit akan diratakan di bahagian jahitan menggunakan sudu kecil bagi mengelakkan permukaan tidak rata akibat kesan jahitan. Proses terakhir ialah memasang baldu serta lilitan bersulam yang ditempah dari Pulau Pinang dan Sumatera Barat, Indonesia.

Bagi Bakhtiar, beliau mampu menyiapkan lima songkok sehari sekiranya menumpukan sepenuh masa dan menjelang musim perayaan, tempahan yang diterima agak tinggi.

Bagaimanapun, di hati kecilnya, timbul perasaan terkilan dan kecewa melihat ‘trend’ pemakaian songkok ketika ini yang dikatakan sangat merosot.

“Dulu ramai yang memilih songkok setiap kali menjelang musim perayaan atau dipakai ke majlis rasmi, tetapi sekarang sudah berkurangan. Jika ada pun, tempahan pelajar sekolah. Sekarang orang lebih suka guna ketayap.

“Tak apalah, mungkin trend ini akan berubah tetapi kita harus berusaha pastikan tradisi ini kekal,” katanya yang pernah menjaja di kaki lima menjual songkok pada awal pembabitannya sebelum menghasilkan songkok.

Profil

Nama: Bakhtiar Mustafa, 73,

Isteri: Syamsiah Abdul Majid, 66

Anak:

1) Erny, 38

2) Risnaldi, 36,

3) Juniarni, 34,

4) Herlina, 30,

5) Muharman, 28

6) Firdaus, 24,

Cucu: 16 orang

Kedai: F8 Pasar Keramat, Kuala Lumpur


* Berita Minggu, 9 Ogos 2009

10 August 2009

My Desktop - cube mode

Ni antara paparan desktop aku yang dah di modified. Sangat la basic bagi sesetengah orang yang dah expert dalam Ubuntu ni. Saya budak baru belajar...!

06 August 2009

Linux (Ubuntu)

Alhamdulillah, setelah hampir 2 hari membuntukan diri untuk install Ubuntu dalam pc aku, akhirnya siap juga pada hari ni. Kredit dan terima kasih bebanyak pada En. Hanif (Mr. ICT) kerana telah membantu proses installing tersebut.

My desktop. Belum di modified lagi. Tunggu naa..