Alhamdulillah semalam diberi kesempatan sekali lagi oleh Allah Taala untuk ke rumah Ust. Lah bersama-sama beberapa orang sahabat. Kehadiran kami yang agak lewat malam (sekitar jam 10.15pm) tetapi tetap disambut mesra oleh ustaz.
Tujuan ziarah - mendapatkan butir-butir berharga dan berguna untuk melaksanakan amal. dakwah serta thabat di atas jalanNYA. Memang agak sukar untuk bertemu dalam suasana demikian, walaupun berjumpa dengan Ust. Lah boleh dianggap agak kerap dan sudah menjadi kebiasaan. Jadi apabila ada kesempatan, maka peluang tersebut akan diguna dan dimanfaatkan sebaiknya.
-------------
Kerja dakwah bukan satu pilihan, ianya adalah satu kewajipan. Tidak ada seorang pun yang mengaku sebagai muslim yang dapat lari dari hakikat ini. Kenapa? Jawapannya adalah seperti yang terkandung di dalam al-Quran (51:56, 2:30). Andai seseorang itu memahami tentang tanggungjawabnya ini, maka itulah yang akan memberi kekuatan padanya untuk kekal dalam amal ini. Dan itulah juga bukti bagaimana hidupnya dipenuhi dengan keberkatan.
Apa itu berkat? Berkat bermaksud tambahan. Tambahan disini bukan bermaksud tambahan dari sudut bilangan, tetapi tambahan dari sudut nilai.
Hidup yang berkat, bukan bererti umur seseorang itu panjang. Tetapi hidup yang berkat adalah hidup yang mendapat nilai-nilai tambahan dari Allah. Seseorang yang umurnya 63 tahun yang tidak berada di dalam medan amal, adalah berbeza dengan umur 63 bagi seseorang yang berada di dalam medan amal.
Seseorang yang mempunyai wang 1 juta tetapi tidak bersyukur, adalah tidak sama dengan seseorang yang mempunyai wang Rm10 tetapi bersyukur dengan apa yang ada.
Inilah yang dinamakan berkat!
Antara keberkatan bagi seseorang yang berada dalam medan amal, beliau akan diberi kekuatan untuk menggiatkan lagi kerja-kerjanya, sehingga beliau kembali semula pada tuhannya. Makin meningkat umur seseorang itu, tidak bermakna makin kurang melakukan kerja-kerja dakwah. Sepatutnya, selagi mana adanya kemampuan, selagi itu kerja harus dilakukan dan dipergiatkan.
Setakat mana kemampuan tersebut? Penilaian itu kembali pada diri masing-masing. Tetapi sebagai panduan, kita boleh melihat pada sejarah. Lihat bagaimana usaha yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw dan umat Islam Madinah ketika peperangan Khandaq, dimana penggalian parit merupakan usaha yang terakhir yang termampu dilakukan oleh umat Islam ketika itu. Sehinggakan ketika penggalian tersebut, Baginda Rasul saw sendiri mengikat perut Baginda saw dengan batu, tanda kepada kemampuan dan kesungguhan yang ada pada Baginda saw. Ini semua adalah kerana kefahaman umat Islam ketika itu dengan ayat Allah di dalam dalam al-Quran (8:60). Sesudah itu, barulah ianya akan kembali menjadi urusan Allah Taala sebagai penentu kepada sesuatu.
Keberkatan hidup seseorang yang berada dalam medan amal dakwah ini, akan menjadikan seseorang itu melihat bahawa segala kepayahan yang dilaluinya adalah satu kejayaan buat beliau. Lihat juga bagaimana para Sahabat ra, ketika mana di dalam peperangan yang disertai dengan semangat jihad, apabila ada di antara mereka yang terkena panahan pihak musuh, lalu mereka berkata "Fuztu ya rab al-Kaabah!" (Wahai Tuhan Kaabah (Allah), aku telah berjaya!)
Berjaya kerana terkena panah? Cedera dan syahid adalah satu kejayaan?! Ya, ianya satu kejayaan, bahkan kejayaan yang besar (61:12, 85:11). Bagi mereka yang melihat dengan mata akal, ianya satu kerugian dan kekalahan. Tetapi bagi mereka yang melihat dengan mata hati serta keimanan, maka ianya satu kejayaan. Jadi seseorang yang mengalami kepayahan sewaktu melakukan kerja-kerja dakwahnya; diuji dengan fitnah, kekekangan kewangan, hambatan masa, ancaman dan tentangan dari musuh - itu semua merupakan satu kejayaan baginya. Kejayaan yang akan dinikmatinya pada hari akhirat kelak.
Dan itulah keberkatan hidup yang sebenarnya!
-------------------
* olahan semula intipati penyampaian Ust Lah.