30 May 2007

Akhirnya...

Akhirnya bakal tiba jua hari bahagia yang dinanti selama ini...

Ini adalah posting aku yang terakhir (aku rasa...) sebagai orang bujang. Cara pemikiran, stail, pendekatan, perwatakan dan kesemuanya aku kira akan berubah dari status bujang kepada status seorang suami. Selepas dari ini, terlalu banyak tanggungjawab yang akan aku pikul dan yang terpaksa aku hadapi kelak. Segala yang telah aku lalui sebagai seorang bujang, aku harapkan dapat menjadi bekalan buat aku sebagai seorang suami kepada isterinya yang tercinta.

Beberapa hari lagi akan terpahat satu lagi sejarah dalam kehidupan aku. Isu perkahwinan yang sebelum ini hanya impian dan cita-cita, gurauan bersama teman-teman, akan menjadi satu realiti buat diri aku. Dan aku tahu, aku harus menghadapi dengan sebaiknya. Bukan sekadar hanya menghalalkan hubungan suami isteri, tapi bagi aku, perkahwinan ini adalah sebagai satu platform bagi aku dan isteriku bersama-sama untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai dai'e di jalan Allah. Kalau hanya sekadar kerana ingin memenuhi kehendak tabii sebagai manusia, terlalu ramai wanita di luar sana yang boleh mengisi kehendak tersebut. Tetapi bagi aku, setiap kali aku berhadapan dengan wanita, perkara pertama yang menjadi skema bagi aku adalah: "Adakah dia (wanita) ini boleh bantu aku dalam kerja dakwah?" Perkara ini yang sentiasa bermain dalam fikiran aku. Dan akhirnya.... aku dipertemukan dengan seorang wanita yang baik pekertinya, elok rupa parasnya dan... hebat kesungguhannya bekerja di dalam jalan Allah.
"Semoga kehadiranmu dalam hidupku dapat meniupkan lagi semangatku dalam kerja yang mulia ini ! "
" Ya Allah, Engkau berkatilah jodoh yang telah Engkau tentukan ini, Dan jadikanlah aku sebagai seorang suami yang patuh perintahMU serta jadikanlah isteriku sebagai penyejuk hati bagiku, Dan Engkau jadikanlah pertemuanku dengan isteriku ini sebagai satu lonjakan bagi kami terus melakukan kerja-kerja untuk agamaMU... Amin Ya Rabb al-'Alamin "